Budak lima tahun dipercayai panjat kerusi sebelum terjatuh dari kondo

Budak lima tahun dipercayai panjat kerusi sebelum terjatuh dari kondo

BALIK PULAU: Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut selepas terjatuh dari unit kediamannya di sebuah kondominium di Teluk Kumbar di sini dipercayai terjaga daripada tidurnya sebelum memanjat kerusi yang diletakkan berhampiran tingkap ruang tamu dan terjatuh.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab. Wahab berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa berada di rumah bersama dua adik-beradiknya yang sedang tidur manakala bapanya keluar sebentar atas urusan kerja.

Beliau berkata, ibu kepada mangsa pula berada di luar negeri dipercayai atas urusan pekerjaan.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian oleh pasukan forensik polis setakat ini tidak menemukan sebarang unsur atau tanda perlakuan jenayah.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 33(A) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anuwal menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut demi menghormati perasaan keluarga mangsa selain tidak menjejaskan siasatan.

Dalam kejadian pukul 11,30 malam tadi, kanak-kanak lelaki terbabit dijumpai tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 24, sebuah kondominium di Teluk Kumbar di sini.

Difahamkan, kanak-kanak itu dijumpai oleh orang awam kira-kira pukul 11.30 malam sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang berada di lokasi. – UTUSAN

 

 

Scroll to Top