Isu baja Kedah: Mat Sabu hantar notis tuntutan, dakwa pengguna Facebook tuduh tanpa bukti

SHAH ALAM – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menghantar notis tuntutan kepada pengguna Facebook dikenali Tam RJebat berhubung dakwaan yang mengaitkannya dengan isu bekalan baja di Kedah.

Mohamad berkata, notis turut dihantar kepada pemilik akaun lain yang dikenal pasti membuat perkara sama.

“Nak bersuara, tak ada masalah.Tapi kalau dah sampai menuduh tanpa bukti, buat sangkaan jahat itu dah cerita lain.

“Saya dah minta peguam hantar notis tuntutan kepada pemilik akaun berkenaan serta pemilik akaun-akaun lain yang dikenal pasti membuat perkara yang sama” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Dalam hantaran sama, Mohamad turut memuat naik tangkap layar hantaran Tam RJebat.

Menerusi hantaran itu, Tam RJebat mempersoalkan siasatan berhubung isu bekalan baja di Kedah.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan bagi isu kelewatan pengagihan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada pesawah di Kedah.

SPRM Kedah menerima aduan daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia pada 26 Ogos lalu dan satu kertas siasatan telah dibuka.

Siasatan berhubung isu tersebut dilakukan SPRM Kedah bagi menyiasat bukan sahaja daripada aspek jenayah, namun termasuk sebarang isu kelemahan tatakelola yang wujud sehingga berlakunya kelewatan tersebut.

Tambah Mohamad, media sosial memberi ruang untuk bersuara, tetapi setiap kenyataan tetap datang dengan tanggungjawab.

Sementara itu, Mohamad memberitahu, kementeriannya akan terus memperkukuh pemantauan aspek tatakelola, integriti dan pengurusan kewangan di semua agensi serta anak syarikat agensi di bawah Kementerian.

Jelasnya, beliau mahu setiap organisasi di bawah KPKM diurus secara telus, berintegriti dan mematuhi sepenuhnya peraturan serta tatacara yang ditetapkan.

“Sebarang kelemahan dalam pengurusan, ketidakpatuhan atau perkara yang boleh menjejaskan kepentingan awam hendaklah dikenal pasti dan diambil tindakan sewajarnya.

“Pengurusan agensi dan anak syarikat juga perlu memastikan setiap keputusan, perolehan serta penggunaan dana awam dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan boleh dipertanggungjawabkan.

“KPKM tidak akan berkompromi dalam soal integriti dan tata kelola. Amanah rakyat mesti dijaga dan setiap ringgit wang awam perlu diurus dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Scroll to Top