Zarina Halim dilantik Ketua Pegawai Perkhidmatan Persaraan KWAP

Zarina Halim dilantik Ketua Pegawai Perkhidmatan Persaraan KWAP

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengumumkan pelantikan Zarina Halim sebagai Ketua Pegawai Perkhidmatan Persaraan yang baharu, berkuatkuasa 2 Januari 2024.

KWAP dalam kenyataan berkata, Zarina yang telah berkhidmat di Kumpulan Hektar selama lebih 20 tahun membawa pengalaman dan pengetahuan yang luas dalam bidang kemampanan.

Katanya, beliau telah menerajui agenda kemampanan untuk Hektar REIT yang membolehkan syarikat tersebut diiktiraf sebagai syarikat bertaraf empat bintang dalam Indeks FTSE4GD Bursa Malaysia dan telah memenangi pelbagai anugerah dalam bidang Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Latar belakang beliau yang kukuh dalam industri berkaitan perkhidmatan pelanggan di mana kepuasan pelanggan adalah tumpuan utama dan penting untuk kejayaan, Zarina akan dapat memanfaatkan pengalaman luasnya dalam bidang tersebut
untuk menyelia pelbagai aktiviti yang bertujuan meningkatkan penglibatan dengan pesara dan bakal pesara.

“Ini sejajar dengan aspirasi KWAP untuk meluaskan jangkauannya dan memperkayakan pelbagai inisiatif penglibatan untuk pihak berkepentingan utamanya iaitu para pesara dan penerima pencen derivatif,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, KWAP berharap dengan pelantikan Zarina sebagai Ketua Pegawai Perkhidmatan Persaraan, akan meningkatkan lagi usaha KWAP untuk memperkasakan pesara dan bakal pesara ke arah persaraan yang ideal dan mampan.

“Pelantikan Zarina memainkan peranan penting dalam menyokong langkah strategik asas pertumbuhan mampan KWAP, menambah baik pendigitalan, dan meningkatkan proses selaras dengan inisiatif Teras 5 KWAP,” kata beliau.

Menurut KWAP, Zarina kini bertanggungjawab untuk membangunkan dan melaksanakan dasar, strategi dan inisiatif bagi Bahagian Perkhidmatan Persaraan KWAP agar dapat mengekalkan kecemerlangan prestasi perkhidmatannya.

Selain itu, beliau juga akan memantau perkhidmatan persaraan dan perkhidmatan pelanggan KWAP untuk berada di tahap yang terbaik.

Sebelum menyertai KWAP, Zarina telah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Korporat di Hektar Asset Management, syarikat pengurusan Hektar REIT.

Beliau memulakan kerjayanya dengan Kumpulan UEM dan telah berkhidmat untuk kumpulan itu selama hampir sedekad di Prolink Development, pemaju induk untuk Iskandar Puteri, Johor, dan kemudiannya di cabang modal teroka, OptixLab.

Zarina memegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan (Kepujian) dari University of Manchester, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) dari University of London.

Beliau juga merupakan Global Reporting Initiative Certified Sustainability Professional dan Certified Sustainability Reporting Specialist dari Institute of Certified Sustainability Practitioners.

Sehingga 31 Disember 2023, terdapat lebih 790,000 penerima pencen di Malaysia, 570,000 daripadanya adalah pesara.

“Untuk menyediakan pesara dan bakal pesaradalam menghadapi posisi negara yang semakin menua, KWAP akan terus aktif menjalankan program jangkauan seperti Jelajah MyPesara yang dianjurkan sepanjang tahun di seluruh negara, bagi menyediakan khidmat nasihat kepada pesara dan bakal pesara mengenai pelbagai aspek persaraan, termasuk celik kewangan, keusahawanan, dan penjagaan kesihatan.

“Di samping itu, Karnival MyPesara – platform sehenti yang merangkumi aspek Kesihatan, Persekitaran, Kewangan dan Sosial direncana akan diadakan setiap tahun untuk penggalakan gaya hidup sihat dan aktif di alam persaraan,” kata KWAP. – UTUSAN

Scroll to Top