Keadaan Abdul Hadi stabil tapi masih di bawah pengawasan doktor

Keadaan Abdul Hadi stabil tapi masih di bawah pengawasan doktor

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kesihatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang stabil tetapi masih memerlukan pengawasan doktor selepas menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Khamis lalu.

Setiausaha Sulit kepada Presiden Pas, Zaihan Mohd Daud berkata, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dinasihatkan berehat sementara di IJN dengan pengawasan doktor.

Ketika ditanya penangguhan program, beliau berkata, tidak banyak program bulanan dijadualkan hanya rutin biasa iaitu beberapa mesyuarat parti.

“Walaupun beliau dinasihatkan berehat tetapi masih menulis melalui Facebook (FB) Minda Presiden Pas.

“Keadaan tuan guru stabil, beliau perlu mengambil masa untuk berehat dengan pengawasan doktor di IJN,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan ke IJN untuk menziarahi Abdul Hadi dan bekas penasihatnya ketika menjadi Menteri Pendidikan, Ziauddin Sardar.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan tidak sempat berjumpa Abdul Hadi kerana Ahli Parlimen Marang itu berada dalam rawatan dan pemantauan.

Mengulas lanjut, Zaihan meminta orang ramai terus mendoakan kesihatan Abdul Hadi agar kembali sihat seperti biasa.

“Ingin kita tegaskan, keadaan kesihatan tuan guru stabil tetapi masih memerlukan pengawasan dan masih mengambil masa untuk berehat,” katanya.

Kali terakhir Abdul Hadi dimasukkan ke IJN pada Jun tahun lalu bagi menjalani rawatan serta pemantauan doktor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top