Banjir di Johor kian memburuk

Banjir di Johor kian memburuk

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Situasi banjir di Johor bertambah buruk apabila jumlah mangsa banjir di enam daerah terjejas seluruh negeri ini meningkat secara mendadak sehingga 12 tengah malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir di Johor kini mencecah 4,834 orang daripada 1,413 keluarga berbanding 3,322 orang daripada 1,007 keluarga pada 8 malam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, jumlah PPS yang beroperasi di seluruh negeri ini juga semakin bertambah iaitu sebanyak 50 PPS berbanding 45 PPS pada 8 malam.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) Negeri Johor, enam jalan di Kota Tinggi dan satu jalan di Johor Bahru terjejas dengan banjir selepas dinaiki air.

Daripada jumlah itu, Jalan Kota Tinggi – Kluang dan Jalan Tai Hong di Kota Tinggi ditutup bagi semua jenis kenderaan, manakala empat lagi hanya dibuka bagi laluan kenderaan berat sahaja.

Jalan Maju Jaya-Selong di Johor Bahru juga ditutup bagi laluan semua jenis kenderaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) pula mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk sehingga hari ini di Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

Manakala, Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru menerima amaran hujan berterusan tahap waspada, juga sehingga hari ini.

Sementara itu, enam sungai di negeri ini dilaporkan sudah melepasi paras bahaya setakat 12 tengah malam tadi.

Berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), enam sungai terbabit adalah Sungai Kahang di Kluang; Sungai Siam di Kulai serta Sungai Kepala Orang, Sungai Johor dan Sungai Linggiu di Kota Tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top