PARIS: Eropah mungkin mencapai imuniti kelompok COVID-19 menjelang Julai, kata seorang Pesuruhjaya Kesatuan Eropah (EU).
Keyakinan itu berikutan lebih banyak suntikan akan tiba bagi mempercepatkan lagi program imunisasi di benua itu.
Kenyataan optimis itu muncul walaupun beberapa negara Eropah telah mulai melaksanakan semula sekatan berikutan peningkatan kes COVID-19 dan kebimbangan ramai mengenai keselamatan vaksin.
Pesuruhjaya EU, Thierry Breton berkata; “Mari kita tetapkan tarikh simbolik: Menjelang 14 Julai, kita mempunyai kemungkinan untuk mencapai imuniti berkelompok di seluruh benua.”
“Kita berada di rumah, kerana kita tahu bahawa untuk mengatasi pandemik ini hanya ada satu jalan keluar: Vaksinasi. Vaksin akan tiba,” katanya kepada stesen penyiaran Perancis, TF1.
Lebih satu pertiga penduduk Perancis kini diletakkan di bawah perintah sekatan, manakala di beberapa bandar di Eropah seperti Jerman, Amsterdam, Bulgaria dan Switzerland dianjurkan tunjuk perasaan kumpulan yang kecewa terhadap tindakan mengekang penularan virus COVID-19.
Eropah kini berhadapan gelombang jangkitan ketiga yang kini disulitkan oleh masalah agihan vaksin di beberapa negara yang mana vaksin AstraZeneca dihentikan buat sementara waktu berikutan kesan sampingan membabitkan pembekuan darah.
Sebahagian besar negara menyambung semula pemberian vaksin itu selepas Agensi Ubat Eropah (EMA) mengesahkan vaksin itu ‘selamat dan berkesan’.
Pada masa ini, AstraZeneca hanya memberikan 30 peratus daripada 90 juta dos yang dijanjikannya kepada EU untuk suku pertama tahun ini.
Breton berkata, beliau yakin lebih banyak vaksin akan tiba tidak lama lagi, dengan 300 hingga 350 juta dos dijangka antara bulan Mac dan Jun.
Katanya, 55 kilang kini dikenal pasti akan menghasilkan vaksin di Eropah. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




