Perkasa sektor agromakanan -Raja Muda Perlis

Perkasa sektor agromakanan -Raja Muda Perlis

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan harapan agar jabatan dan agensi berkaitan terus mempergiat usaha memperkasa sektor agromakanan melalui pendekatan moden, inovatif dan berimpak tinggi.

Titah baginda, usaha tersebut penting bagi menjamin keterjaminan makanan serta meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat, khususnya golongan asnaf.

“Penggunaan teknologi pertanian juga diyakini dapat meningkatkan hasil pengeluaran serta kecekapan pengurusan ladang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan mengetuai lebih 100 peserta terdiri daripada kakitangan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Perlis bersempena Jelajah Agrofest 2026 di kolam memancing A.B.E, Bintong.

Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan penyerahan anak ikan kepada tiga orang asnaf terpilih sebagai inisiatif memperkasa sumber pendapatan golongan sasar.

Baginda kemudian menyaksikan penyerahan cek cura bernilai RM376,000 daripada Pengarah Jabatan Pertanian negeri kepada pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerusi Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) bagi pelaksanaan Projek Pembinaan Sistem Pertanian Moden (Fertigasi) yang melibatkan sepuluh orang asnaf terpilih.

Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan pelepasan benih ikan puyu ke dalam kolam, di samping meninjau kawasan sekitar, mengail udang galah dan seterusnya melancarkan secara rasmi Program Jelajah Agrofest 2026 pada edisi kali ini.-UTUSAN

Scroll to Top