Rakyat Korea Utara diekstradisi didakwa mahkamah AS

Rakyat Korea Utara diekstradisi didakwa mahkamah AS

WASHINGTON: Seorang ahli perniagaan Korea Utara yang diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) dari Malaysia, didakwa di Mahkamah Persekutuan, di sini, semalam, terhadap tuduhan pengubahan wang haram.

Jabatan Keadilan AS (DOJ) memaklumkan, Mun Chol Myong, 55, hadir buat kali pertama di Mahkamah Persekutuan di sini, didakwa terhadap enam tuduhan pengubahan wang haram membabitkan transaksi bernilai lebih AS$1.5 juta (RM6.17 juta).

DOJ dalam satu kenyataan berkata, Chol Myong, adalah rakyat Korea Utara pertama diekstradisi ke AS. Beliau tidak diekstradisi oleh Korea Utara, tetapi dibawa ke AS oleh satu ‘negara asing’ yang menjadi lokasi beliau ditahan sejak Mei 2019.

DOJ tidak menyatakan negara terbabit, namun Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia dan menutup kedutaannya pada Ahad, sebagai membantah ekstradisi Chol Myong.

Pyongyang menyifatkan ekstradisi itu sebagai ‘jenayah yang tidak boleh dimaafkan’ dan mendakwa ia dilaksanakan ‘dengan mengikut membuta tuli’ di bawah tekanan AS.

DOJ berkata, Chol Myong didakwa melakukan pengubahan wang haram menerusi sistem kewangan AS antara April 2013 dan November 2018 untuk menyediakan barangan mewah kepada Korea Utara.

Sementara itu, Penolong Peguam Negara AS, John Demers berkata, tuduhan berkenaan menyatakan Chol Myong menipu bank dan mengubah wang dalam usaha mengelak sekatan kawalan senjata nuklear yang dikenakan terhadap Korea Utara oleh AS dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kita akan terus menggunakan undang-undang untuk melindungi rakyat AS daripada tindakan mengelak daripada sekatan dan ancaman keselamatan lain,” katanya.

Seorang ejen FBI, Alan Kohler berkata, antara cabaran perisikan balas agensi itu adalah membawa defendan luar negara ke muka pengadilan, khususnya dalam kes Korea Utara.

“Hasil kerjasama FBI dengan pihak berkuasa luar, kami berjaya membawa Chol Myong ke AS untuk berdepan keadilan, dan berharap lebih ramai akan menyusul selepas ini,” katanya.

Pertuduhan itu mendakwa Chol Myong bekerjasama dengan agensi perisikan utama Korea Utara, Biro Perisikan Awam (RGB).

Malaysia adalah antara sekutu Pyongyang, namun hubungan diplomatik kedua-dua negara mula tegang susulan pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2017.

Selepas Pyongyang memutuskan hubungan, Malaysia memberi tempoh 48 jam kepada diplomat Korea Utara untuk keluar dari negara itu.

Bendera dan plak Korea Utara di kedutaan negara itu di Kuala Lumpur diturunkan pada Ahad, dan pagarnya dirantai.

Malaysia menempelak langkah Pyongyang, dan mengumumkan akan menutup kedutaan di Korea Utara, yang operasinya sudah digantung sejak pembunuhan abang tiri Jong Un. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top