SINGAPURA: Permintaan minyak dan bahan api di Asia Tenggara sudah mencecah tahap tepu selepas pulih daripada kemerosotan berpunca COVID-19 dan dijangka tidak akan kembali ke paras sebelum virus sebelum akhir tahun ini atau lebih lewat lagi.
Pelaksanaan perlahan program vaksinasi dan peningkatan semula kes di rantau lebih 700 juta penduduk itu melewatkan garis masa untuk perniagaan kembali seperti biasa.
Masih terdapat sekatan pergerakan di sebahagian Indonesia dan Malaysia, manakala pusat tarikan utama pelancong di Thailand masih ditutup.
Hab penerbangan Singapura tidak begitu berjaya untuk memulakan gelembung perjalanan dengan negara lain, manakala Myanmar bergolak dengan rusuhan susulan rampasan kuasa.
Jualan bahan api Indonesia masih lagi kira-kira tujuh peratus di bawah paras pra-pandemik, kata syarikat tenaga milik kerajaan, PT Pertamina.
Permintaan petrol Indonesia dan Malaysia pulih ‘dengan mendadak’ sejar April tahun lalu, namun sekatan terbaharu memperlahankan momentumnya, demikian menurut FGE.
Penggunaan diesel di Indonesia akan kembali kepada normal pada suku ketiga, namun situasi di Malaysia adalah kurang jelas, kata perunding industri itu.
“Kita akan melihat petrol kembali ke laluan pemulihan sepanjang April dan Mei semasa bulan Ramadan, namun permintaan diesel adalah ‘bercampur-campur’,” kata penganalisis pasaran minyak kanan di FGE, Grayson Lim.
Katanya, operasi kemudahan penapisan akan terus meningkat, namun masih akan berada di bawah paras pra-virus sehingga akhir tahun ini.
Indonesia mengeluarkan secara purata 800,000 tong sehari pada suku tahun semasa, berbanding 900,000 tong sebelum virus, menurut Lim.
Malaysia mengeluarkan kira-kira 570,000 tong sehari dalam tiga bulan pertama tahun ini, berbanding 600,000 kebiasaannya, katanya.
Di Thailand, permintaan petrol dan diesel masing-masing dijangka hanya satu peratus lebih tinggi tahun ini berbanding 2020, menurut IRPC Pcl.
Syarikat penapisan itu merancang meningkatkan pengeluaran di kemudahannya di wilayah Rayong kepada 95 hingga 97 peratus kapasiti pada separuh kedua tahun ini, berbanding 86 hingga 88 peratus dalam enam bulan pertama, kata jurucakapnya dalam satu jawapan e-mel.
Satu lagi syarikat penapisan Thailand, Bangchak Corp memulakan semula 120,000 tong sehari bulan ini susulan penyelanggaran dan akan beroperasi pada kapasiti penuh selepas itu, kata seorang jurucakap.
Petron Corp, syarikat minyak terbesar Filipina merancang untuk memulakan operasi di kemudahan yang terhenti sebelum ini pada separuh kedua, apabila jualan bahan api meningkat.
Negara itu mengimport bahan api sejak kilang berkapasiti 180,000 tong sehari itu ditutup Mei lalu.
Sementara itu, di Myanmar, protes yang semakin memuncak bermakna import bahan api kekal rendah sehingga situasi pulih dan pembeli boleh mendapatkan akses kepada pembiayaan, kata Sandra Octavia, penganalisis di firma perunding Energy Aspects.
-Bloomberg
© New Straits Times Press (M) Bhd




