georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Rita Nadira, 26, akan terus sambar peluang dan tawaran berlakon meskipun ada segelintir pihak mula mempersoalkan wajahnya terlalu kerap muncul di kaca TV.
Rita atau nama sebenarnya, Rita Nadira Mohd Ritamurni berpegang kuat pada rezeki dan tahu sekarang masanya terus bekerja-keras kerana dia bukan main-main dalam bidang lakonan.
“Sebenarnya sudah ada yang bercakap kata selepas saya, muka saya lagi. Bagi saya ini rezeki. Malah, saya rasa bukan saya seorang, tapi ramai juga pelakon lain turut kena hal sama.
“Mungkin juga situasi ini berlaku sebab pelakon (wanita) yang lebih senior kebanyakannya sudah berkahwin dan nak jaga anak, jadi kamilah yang masih baru ini sebagai pengganti,” katanya
Rita yang juga pelakon drama Pewaris Cinta berkata, dia percaya hayat populariti belum pasti akan bertahan lama walaupun berada di kemuncak. Ujarnya, akan ada pelakon baru yang muncul dan sedia menggantikan posisi itu.
“Percayalah selepas ini akan ada pelakon-pelakon baru lagi. Jadi, kami pulalah yang akan kahwin, jaga anak dan barisan pelakon baru itu pula yang akan naik. Ia adalah perkara biasa,” katanya.
Bagi Rita, apapun fokusnya ketika ini cuma ingin terus ikhlas mencari sumber pendapatan dalam bidang lakonan.
“Sebab lakonan bukan mainan. Macam saya berlakon memang sebab kerja. Bukanlah nak berlakon saja-saja untuk popular.
“Ikutkan saya pun tak nak kehidupan jadi tatapan umum. Tapi, inilah kerja saya untuk mencari rezeki,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




