Diesel subsidi dah murah tapi…….

Diesel subsidi dah murah tapi…….

lizamridzuan@hmetro.com.my

Shah Alam: Penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter yang dilaksanakan kerajaan sejak Julai lalu masih belum diterjemahkan kepada penurunan ketara harga barangan keperluan.

Peniaga mendakwa faktor bekalan, cuaca dan produktiviti pengeluaran terus menjadi penentu utama harga makanan di pasaran.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Moden Seksyen 16, di sini, mendapati kebanyakan harga ayam, ikan, sayur-sayuran dan telur masih berada pada harga hampir sama seperti sebelum pelaksanaan penurunan harga diesel.

Bagaimanapun terdapat sedikit penurunan bagi beberapa jenis sayur-sayuran.

Pengerusi Peniaga Pasar Moden Seksyen 16, Shah Alam, Azmi Sahamin berkata, harga ayam dijual sekitar RM10.50 sekilogram dengan harga modal kira-kira RM9, sama seperti ketika harga diesel berada pada paras lebih tinggi.

Menurutnya, harga ikan seperti ikan kembung dan ikan bersaiz kecil juga masih dijual melebihi RM20 sekilogram, manakala harga sayur-sayuran kekal tinggi dan harga daging import pula menunjukkan peningkatan.

“Naik atau turun harga diesel, kami tidak nampak perubahan ketara pada harga ayam dan ikan. Kemungkinan faktor bekalan di peringkat pemborong menyebabkan harga sukar diturunkan dan hampir semua barang keperluan masih dijual pada harga yang tinggi ketika ini,” katanya.

Beliau berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperhebat pemantauan terutama di peringkat pemborong bagi memastikan tiada manipulasi harga sebelum barangan dihantar kepada peruncit.

Sementara itu, peniaga sayur-sayuran, Masliana Yahya, berkata perubahan harga diesel tidak memberi kesan besar terhadap harga sayur kerana faktor cuaca dan bekalan lebih mempengaruhi turun naik harga.

Katanya, harga tomato meningkat daripada sekitar RM2 sekilogram kepada RM9 sekilogram, manakala daun sup pula turun daripada RM25 kepada RM10 sekilogram selepas bekalan kembali stabil.

“Harga cili padi import dari Thailand juga turun daripada sekitar RM70 hingga RM80 sekotak kepada RM50 hingga RM60 sekotak, manakala harga sawi kini kembali stabil sekitar RM4 sekilogram selepas pernah mencecah RM7 sekilogram ketika musim hujan,” katanya.

Masliana berkata, harga telur turut meningkat kebelakangan ini berikutan bekalan daripada pengeluar yang semakin berkurangan dan bukannya disebabkan perubahan harga diesel.

Katanya, semua gred telur termasuk Gred AA dan Gred B mengalami kenaikan harga kerana produktiviti ayam penelur menurun sekali gus menjejaskan bekalan di pasaran.

“Saya mengambil sendiri bekalan telur dari Meru menggunakan kenderaan yang menggunakan petrol, jadi perubahan harga diesel tidak memberi kesan kepada kos operasi. Setakat ini pembekal juga tidak mengenakan caj penghantaran tambahan,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya faktor cuaca, bekalan dan pengeluaran masih menjadi penentu utama harga di pasaran berbanding perubahan harga diesel.

Bagaimanapun, seorang pembeli dari Klang, Selangor, Nurul Aliza, berkata beliau melihat terdapat sedikit penurunan harga bagi beberapa barangan mentah yang sering dibelinya walaupun tidak berlaku secara menyeluruh.

Menurutnya, harga bawang merah yang sebelum ini sekitar RM3.50 sekilogram kini boleh didapati pada harga sekitar RM1.90 sekilogram, manakala harga cili merah turut menurun daripada RM19.90 kepada RM15 sekilogram.

“Daging batang pinang tempatan juga turun daripada sekitar RM40 kepada RM33 sekilogram, selain ubi kentang yang sebelum ini dijual sekitar RM4 sekilogram kini boleh dibeli pada harga RM2.50 sekilogram.

“Bagaimanapun, harga ayam yang saya beli di pusat sembelihan masih kekal seperti sebelum ini, manakala harga telur juga tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara.

“Kalau ada pun harga lebih murah, selalunya ketika pasar raya mengadakan promosi. Selain itu, saya tidak nampak banyak perubahan pada harga barang keperluan,” katanya.

Semakan Harian Metro menerusi aplikasi Price Catcher KPDN dan Laporan Semakan Pasaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut menunjukkan trend yang hampir sama apabila harga ayam bersih standard kekal sekitar RM10.50 sekilogram di pasar awam, manakala harga sawi hijau dan telur ayam Gred B mencatatkan sedikit peningkatan berbanding pertengahan Jun lalu.

Dapatan itu memperlihatkan penurunan harga diesel setakat ini belum diterjemahkan kepada penurunan menyeluruh harga barangan basah, dengan faktor bekalan, cuaca serta kos pengeluaran terus menjadi pemacu utama perubahan harga di pasaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top