redzuan.muharam@hmetro.com.my
Hulu Langat: Tiga belas tahun lalu, Azhar Othman setia menjaga isterinya, Norliza Sulaiman selepas cinta hatinya itu lumpuh paras pinggang ke bawah akibat sindrom Guillain-Barre (GBS) iaitu gangguan jarang berlaku di mana sistem imun badan menyerang sebahagian daripada sistem saraf periferi.
Berkat ikhtiar dan dengan izin Allah SWT, Norliza, 49, sembuh pada 2016 dan sudah boleh berjalan namun kini, Azhar, 49, pula berjuang melawan barah usus tahap empat yang menyerangnya sejak lima tahun lalu.
Bagaimanapun, derita ditanggung tidak pernah dijadikan alasan untuk Azhar meminta ihsan orang sekeliling sebaliknya isteri dan tiga anak menjadi penguatnya untuk terus bekerja walaupun belum bebas daripada barah.
Menceritakan kisahnya, Azhar yang mencari rezeki dengan menawarkan khidmat sebagai pemandu lori berkata, dia asalnya sihat sebelum mengalami masalah membuang air besar selama empat hari.
Katanya, simptom itu memaksanya ke klinik bagi mengambil ubat tahan sakit namun keadaan berlarutan memaksanya ke hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut sebelum disahkan menghidap barah pada September 2021.
“Selepas diperiksa, doktor mendapati usus saya nak pecah dan kuman hampir menyerang paru-paru.
“Kata doktor, saya bernasib baik kerana datang sehari awal…jika tidak, nyawa saya kemungkinan gagal diselamatkan.
“Tanpa berlengah, saya perlu menjalani prosedur pemotongan usus dengan segera dan menggunakan beg stoma selepas pembedahan. Tahun berikutnya iaitu pada 2022, saya mula menjalani kemoterapi dan sudah melengkapkan 12 pusingan rawatan berkenaan ,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya dekat Taman Perkasa Indah, di sini.
Seperti kebanyakan pesakit barah lain, Azhar juga melalui fasa patah semangat namun selama sebulan saja.
Kata Azhar, dia bangkit kerana mengenangkan tanggungjawabnya sebagai suami juga bapa yang perlu menanggung tiga anak.
“Saya jadi patah semangat bukan kerana sakit tapi sebab tiada duit nak menyara keluarga waktu itu.
“Tengok muka isteri dan anak yang buat saya bangkit sebenarnya kerana berasa hilang harga diri sebagai ketua keluarga jika tidak bekerja serta tiada pendapatan.
“Saya enggan ada perasaan tak berguna dan menyusahkan orang jadi kembali usaha cari rezeki dengan berniaga burger. Selepas tiga bulan, saya mula ambil upah hantar barang dengan lori kepunyaan sendiri walaupun masih menggunakan beg stoma waktu itu,” katanya.
Azhar mengakui banyak perbezaan sebelum dan selepas sakit kerana pergerakannya yang terbatas.
Bagaimanapun, Azhar lebih selesa menyembunyikan derita ditanggung kerana bimbang ada yang tidak yakin dengan kemampuannya jika tahu dirinya menghidap barah.
“Prinsip saya tak meminta jadi selagi boleh sorok, saya akan sembunyikan derita ditanggung daripada pengetahuan sesiapa.
“Saya sorok pun demi kebaikan kerana bimbang bila pelanggan tahu, mereka tak nak ambil saya bekerja sebab kasihan atau takut saya tak boleh buat.
“Hakikatnya, saya perlu bekerja kerana masih ada tanggungan. Lagipun, saya memang sejenis orang yang tak boleh duduk diam kerana waktu dalam tempoh rawatan kemoterapi pun keluar rumah mesin rumput di sekitar kawasan rumah,” katanya.
Azhar berkata, dia sudah berdamai dengan takdir kerana percaya setiap apa yang berlaku dalam hidup sudah diatur oleh Allah SWT.
“Jadi saya kena lalui saja dengan senyuman dan bersyukur kerana masih dipanjangkan umur.
“Sebagai hamba, saya tak boleh nak persoalkan ketentuan Ilahi kerana bukan hanya saya malah ramai lagi pejuang barah di luar sana.
“Jadi selagi bernyawa, saya buat sehabis baik dan percaya hidup saya di dunia ini ada sebabnya. Oleh kerana itu, saya ambil inisiatif berkongsi perjalanan sebagai pesakit barah di TikTok.
“Niatnya nak bagi semangat kepada pesakit lain kerana ramai juga yang tak tonjolkan diri dengan alasan malu dan enggan meraih simpati orang lain.
Realitinya, tiada apa nak dimalukan kerana pejuang barah adalah wira kehidupan sebuah keluarga,” katanya yang masih ada temujanji dan pemeriksaan susulan dengan pakar di sebuah hospital.
© New Straits Times Press (M) Bhd




