Doha: Kaoru Mitoma kembali beraksi pada ketika Jepun mengatasi cabaran sengit babak kedua untuk menewaskan Bahrain, 3-1, malam ini, sekali gus mara ke suku akhir Piala Asia 2023.
Di suku akhir, juara empat kali itu akan bertemu pemenang perlawanan antara Iran atau Syria, awal pagi nanti.
Jepun dilihat mudah memenangi aksi 16 terakhir di Doha itu menerusi jaringan Ritsu Doan dan Takefusa Kubo.
Bagaimanapun, gol sendiri oleh penjaga gol yang kerap melakukan kesilapan, Zion Suzuki memberi ruang untuk Bahrain merapatkan jurang dan bangkit melawan sehinggalah Ayase Ueda mengesahkan kemenangan Jepun menerusi gol pada minit ke-72.
Ia adalah gol keempat Ueda di Piala Asia kali ini.
Semangat pemain Jepun melonjak apabila pemain sayap Brighton, Mitoma, dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua untuk beraksi kali pertama sejak cedera buku lali pada 21 Disember lalu.
Bagaimanapun, masih wujud kerisauan terhadap skuad bimbingan Hajime Moriyasu itu yang dianggap antara pasukan pilihan muncul juara, namun gagal mengelakkan gawang dibolosi dalam empat perlawanan di Qatar.
Jepun nyaris berada di depan pada minit ke-10 menerusi tandukan Ueda hasil sepakan penjuru, namun penjaga gol Bahrain, Ebrahim Lutfallah sempat menolak bola keluar.
Bahrain turut berpeluang memecah kebuntuan, tetapi Jepun lebih dulu berada di depan pada minit ke-31.
Bola rembatan bek kanan, Seiya Maikuma dari jarah jauh terkena tiang gol dan Doan pantas menolak masuk bola lantunan ke dalam gawang Bahrain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




