
Pemain Iran, Mohammad Mohebbi meraikan jaringan pada aksi Suku Akhir di antara Iran dan Jepun sempena Piala Asia 2023 di Education City Stadium hari ini. – Foto: Bernama
JARINGAN ketua pasukan Alireza Jahanbakhsh menerusi penalti pada lewat masa permainan memastikan Iran layak ke separuh akhir Piala Asia 2023 dengan menewaskan Jepun 2-1 pada aksi suku akhir di Stadium Education City pada Sabtu.
Keputusan itu membolehkan Team Melli bimbingan Ardeshir Ghalehnoy terus memasang impian untuk merangkul gelaran keempat mereka, sekali gus meranapkan impian Samurai Biru yang tampil pada kejohanan kali ini dengan rekod cemerlang, dalam misi mengintai gelaran kelima.
Kemenangan itu juga menyaksikan dendam Iran terhadap Jepun terbalas, selepas diaibkan 0-3 pada peringkat separuh akhir edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pada pertembungan hari ini, Iran bermain tanpa penjaring terbanyak pasukan pada kempen kali ini, Mehdi Taremi (tiga gol) yang digantung perlawanan, susulan mengutip kad merah pada aksi pusingan 16 terbaik menentang Syria.



