'Lelah moden' jejas kesihatan mental pekerja

'Lelah moden' jejas kesihatan mental pekerja

nurul_husna@mediaprima.com.my

Dalam masyarakat moden hari ini, kerjaya sering kali diletakkan atas carta tertinggi apabila dikaitkan dengan status, gaji lumayan dan lambang kejayaan peribadi.

Malaysia direkodkan antara negara yang mempunyai jam bekerja tahunan yang tinggi di Asia Tenggara iaitu sekitar 2,308 jam setahun bagi setiap pekerja.

Di sebalik realiti masa bekerja rasmi lapan hingga sembilan jam sehari, komitmen masa bekerja menjadi lebih panjang atas faktor masa perjalanan dan kerja lebih masa dalam sektor pekerjaan tertentu.

Golongan bekerja juga komited dalam pekerjaan kerana mengejar petunjuk prestasi utama (KPI) dan mendaki tangga korporat.

Senario itu membuatkan mereka lupa mencari kebahagiaan dalam dunia pekerjaan atau ketika bekerja.

Pengamal kaunselor kerjaya dari Universiti Malaya Prof Madya Dr Lau Poh Li kerap kali mendengar rintihan yang tersimpan kemas di sebalik kemeja korporat.

Dalam rata-rata golongan pekerja ini bangga dengan jawatan mereka, ada juga yang jiwanya kosong dan berasa keletihan melampau.

“Pekerjaan sepatutnya menjadi sumber kesejahteraan hidup yang mematangkan kita, bukan pencetus tekanan yang meragut kedamaian jiwa secara perlahan-lahan.

“Ramai yang kekal atau bertahan dengan pekerjaan dilakukan meskipun tertekan kerana mengejar wang ringgit.

“Sedangkan individu perlu bekerja atas keperluan lain juga dan tidak bersandarkan komitmen semata-mata,” katanya.

Beliau memetik teori ‘Psychology of Working’ oleh David Blustein yang mendedahkan, kerjaya yang sihat sebenarnya memenuhi tiga keperluan asas iaitu kelangsungan hidup, keterhubungan dan penentuan kendiri.

“Kelangsungan hidup ialah alasan asas paling utama berdasarkan gaji yang diterima membolehkan individu bekerja menyediakan hidangan atas meja, membayar sewa rumah dan menyara keluarga.

“Sebab itu kehilangan pekerjaan impaknya sangat besar, malah ia boleh mencetuskan kemurungan kerana hilangnya rasa selamat,” katanya.

Menurut beliau, keterhubungan pula merujuk kepada tempat kerja sebagai ruang sosial untuk berinteraksi, mencari kawan dan membina rangkaian komunikasi.

Katanya, hubungan positif di pejabat sebenarnya ‘ubat penenang’ paling mujarab apabila berdepan hari sarat dengan tekanan.

“Keperluan sangat penting bagi individu bekerja ialah penentuan kendiri.

“Kerja memberi kita peluang menonjolkan bakat dan diberi kepercayaan membuat keputusan serta mengawal tugasan sendiri (autonomi). Di situ lahir rasa puas dan bermakna dalam hidup,” katanya.

Namun, beliau menggambarkan realiti dunia pekerjaan hari ini tidak seindah drama televisyen.

“Kajian dalam bidang psikologi kesihatan pekerjaan menunjukkan, tekanan kerja yang kronik boleh membawa kepada pelbagai kesan negatif termasuk keletihan melampau, masalah kesihatan fizikal, kebimbangan dan kemurungan.

“Perubahan dunia pekerjaan yang semakin pesat, ketidaktentuan ekonomi serta perkembangan teknologi pantas turut meningkatkan perasaan tidak selamat dalam kalangan pekerja,” katanya.

Selain itu, menurut beliau, isu persekitaran kerja yang toksik turut semakin mendapat perhatian.

Beban tugas yang berlebihan, budaya kerja yang tidak sihat, komunikasi yang lemah serta kepimpinan yang kurang menyokong juga boleh memberi kesan yang mendalam terhadap kesihatan mental pekerja.

“Dalam jangka panjang, tekanan yang berterusan boleh menjejaskan motivasi, produktiviti dan kualiti hidup seseorang,” katanya.

Beliau menyifatkan, tindakan kecil yang bermakna boleh mengubah ekosistem dan perlakuan terhadap pekerjaan atau kerjaya sendiri.

Berikut antara saranan beliau.

1. Cari semula ‘kenapa’ kita bekerja

Apabila rasa bosan atau penat menjelma, ingat semula niat asal.

Adakah untuk menyara anak-anak? Mahu membahagiakan ibu bapa? Atau mahu menyumbang ilmu kepada masyarakat?

Niat yang betul akan menjadi ‘bateri’ untuk rohani kita kembali bertenaga.

2. Raikan kemenangan kecil

Jangan tunggu sehingga naik pangkat baru mahu tersenyum.

Selesai menghantar tugasan sebelum tarikh akhir atau berjaya mengemas meja kerja yang berselerak juga adalah satu kejayaan.

Hargai usaha diri sendiri!

3. Wujudkan sempadan yang sihat

Belajar untuk berkata ‘tidak’ dengan berhemah jika bebanan kerja sudah di luar kemampuan fizikal dan mental.

Kerja tidak akan pernah habis, tetapi kesihatan kita ada hadnya.

4. Cari mentor atau rakan positif

Kelilingi diri dengan rakan sekerja yang membina, bukan yang gemar menyebar aura negatif atau bergosip.

Sokongan emosi daripada ‘circle’ yang betul sangat membantu ketika kita dalam tertekan.

Dr Lau juga menekankan, kejayaan yang sebenar ialah apabila individu berkerja itu berjaya mencipta keseimbangan antara tuntutan profesional dan hak kesejahteraan diri sendiri.

“Penting untuk individu mengubah definisi kejayaan hari ini. Kejayaan hakiki bukan sekadar berada di puncak kerjaya. Tetapi, apabila kita mampu pulang ke rumah dengan senyuman, minda yang tenang dan tubuh yang sihat.

“Jaga diri itu yang utama kerana tiada kerjaya yang berbaloi untuk dikorbankan demi sekeping kesihatan mental yang runtuh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top