Kota Bharu: Bagi Zikri Yusof, 48, pikap bukan sekadar kenderaan untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
Setiap pagi, kontraktor elektrik dan kerja ubah suai itu memulakan hari dengan menyusun peralatan ke dalam pikap. Kabel, mesin pemotong, peralatan kuasa dan alat pengujian perlu dibawa bersama kerana setiap kerja memerlukan persediaan berbeza.
Jika ada barang tertinggal atau pelanggan memerlukan bantuan segera, pikap itu membolehkan beliau terus bergerak.
“Kerja macam ini memang banyak ulang-alik. Kalau pikap tak bergerak, kerja pun susah nak jalan,” katanya.
Bagi peniaga kecil dan pekerja sendiri seperti Zikri, kos diesel bukan perkara kecil. Ia sebahagian daripada kos operasi harian sebelum bergerak ke tapak projek, menghantar pekerja, membawa peralatan dan menyiapkan kerja pelanggan.
Hari Zikri sering membawanya ke beberapa tapak projek di seluruh Kelantan. Ada masanya beliau perlu singgah mendapatkan bahan binaan sebelum meneruskan kerja di lokasi yang lain.
Sebab itu harga diesel bersubsidi memberi kesan langsung kepada pemilik pikap yang benar-benar menggunakan kenderaan diesel untuk mencari pendapatan.
Melalui BUDI Diesel, pengguna yang layak boleh membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menggunakan MyKad di stesen minyak. Pembelian itu menggunakan kelayakan bahan api bersubsidi sebanyak 200 liter sebulan yang boleh digunakan untuk pembelian RON95 atau diesel.
Pemilik pikap atau jip diesel yang diluluskan pula boleh memohon tambahan 100 liter. Kelayakan itu mengambil kira penggunaan pikap diesel sebagai kenderaan kerja oleh kontraktor kecil, peniaga, petani, penternak dan pengusaha kecil.
Bagi Zikri, apa yang penting ialah kos pergerakan hariannya lebih mudah dirancang.
“Kalau minyak tak terlalu membebankan, senang sikit saya nak susun kerja. Kadang-kadang sehari bukan satu tempat saja kena pergi,” katanya.
Setiap perjalanan membawa tanggungjawab kepada pelanggan dan pekerja.
Bagi Zikri, manfaatnya dirasai apabila pikap terus bergerak, kerja diteruskan dan pelanggan terus dapat dilayan.
Menjelang petang, Zikri pulang dengan pikap yang masih sarat dengan peralatan kerja.
Esok, rutin yang sama akan bermula semula.
Selagi pikapnya mampu bergerak, kerja juga boleh berjalan. Bagi Zikri, itu sudah cukup penting kerana dari situlah rezeki hariannya diteruskan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




