Mangsa banjir meningkat, satu lagi PPS dibuka

Mangsa banjir meningkat, satu lagi PPS dibuka

mdroji@bh.com.my

Kuching: Jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat dengan satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu Dewan Serbaguna Taman Malihah, Matang, lewat petang semalam.

Sehingga 8 pagi ini, seramai 418 mangsa daripada 111 keluarga ditempatkan di empat PPS di Batu Kawa, Matang dan Bau.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, PPS Dewan Serbaguna Taman Malihah yang dibuka pada 6 petang kini mencatat jumlah tertinggi iaitu seramai 182 mangsa daripada 48 keluarga.

PPS Dewan Masyarakat Stapok pula menempatkan seramai 151 mangsa daripada 43 keluarga.

PPS Dewan R Piang, Kampung Sinar Budi Baru di Batu Kawa turut mencatat peningkatan apabila menempatkan 60 mangsa daripada 13 keluarga.

PPS Dewan Kampung Segong, Bau pula menempatkan sembilan mangsa daripada dua keluarga.

Semua PPS itu dibuka susulan beberapa kawasan di Sarawak dilanda banjir akibat hujan lebat berterusan sejak 3 pagi Jumaat.

Sementara itu di Bintulu, PPS Balai Raya Kampung Assyakirin yang dibuka sejak 18 Januari lalu, masih aktif untuk menempatkan 16 penduduk daripada lima keluarga yang kediaman mereka di Iris Garden dan Pine Court rosak teruk akibat ribut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top