PERKESO komited fokus bantu golongan rentan, OKU

PERKESO komited fokus bantu golongan rentan, OKU

Shah Alam:PERKESO komited teruskan penganjuran karnival kerjaya berskala besar tanpa meminggirkan golongan rentan termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Karnival Kerjaya MYFutureJobs OKU & TVET anjuran PERKESO yang berlangsung selama tiga hari bermula 1 Mac lalu adalah program berterusan yang akan dilaksanakan oleh PERKESO.

“Melalui karnival ini, kita mahu memberikan lebih 21,000 peluang pekerjaan membabitkan 195 majikan di sini untuk mereka yang sukar mendapatkan pekerjaan.

“Pada tahun lalu, kita sudah melaksanakan lebih 6,000 program penempatan pekerjaan dan pada karnival kali ini, julung kalinya kita memfokuskan kepada golongan terpinggir ini.

“Seperti sedia maklum, karnival kerjaya kali ini, kita bukan sahaja anjurkan di IDCC Shah Alam sahaja, namun 11 negeri lain juga turut laksanakannya secara dalam talian.

“Aktiviti ini berjalan serentak tetapi program berskala besar sebegini akan dilaksanakan di tempat lain yang kita anggap juga memerlukan program penempatan pekerjaan sebegini,” katanya ketika ditemui di IDCC Shah Alam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed

Mohammed Azman berkata, jika karnival ini berjaya, sudah pasti lebih ramai majikan tampil membantu golongan rentan seperti OKU, bekas banduan, wanita ataupun lepasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) yang selama ini sukar mendapat pekerjaan mengikut kelayakan masing-masing.

“Di dalam Belanjawan 2024, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengumumkan RM30 juta untuk membantu golongan rentan ini.

“Sasarannya kepada 3,300 pencari kerja dari segi golongan rentan ini akan dibantu untuk ditempatkan ke alam pekerjaan, yang mana majikan yang mengambil pekerja ini akan diberikan insentif RM1,500 setiap bulan selama enam bulan.

“Jika kita dapat laksanakan program karnival ini dengan jayanya, insya-Allah mungkin lebih ramai lagi majikan akan tampil membantu golongan rentan ini,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran Perdana Menteri yang memberi tempoh sebulan kepada PERKESO dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) kemukakan cadangan dan latihan baharu bagi melahirkan pekerja yang lebih berkompetensi, beliau berkata PERKESO akan bersama dengan kementerian memantau insentif ‘Bina Kerjaya’ untuk membantu golongan-golongan yang memerlukan upskilling bukan hanya memberikan latihan tetapi mendapat tempat di alam pekerjaan dilaksanakan seperti dikehendaki.

“Menteri KSM, Ketua Setiausaha KSM bersama-sama PERKESO akan memantau dan memastikan dalam masa sebulan perkara ini dapat kita mengubah dan melaksanakan dengan sempurna,” katanya.

Karnival Kerjaya MYFutureJobs OKU & TVET anjuran PERKESO yang dilancarkan oleh Perdana Menteri berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat hingga semalam.

Fokus golongan terpinggir

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan berkata, pihaknya bekerjasama dengan PERKESO dalam penganjuran karnival ini bertujuan mengetengahkan golongan yang kurang diberikan perhatian.

“Usaha sama ini sudah dirancang sejak tahun lalu dan ianya satu pencapaian terbaik bagi Usanita Sdn Bhd kerana menerusi kerjasama ini kita mahu ketengahkan golongan terpinggir, contohnya golongan OKU, lepasan TVET, bekas banduan, golongan pesakit HIV, suri rumah, yang mana mereka ini kurang diberikan perhatian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top