Tiada pengusaha miliki lesen perniagaan sewaan e-skuter – MBPP

Tiada pengusaha miliki lesen perniagaan sewaan e-skuter – MBPP

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen atau permit ke atas mana-mana pengusaha bagi menjalankan aktiviti sewaan kenderaan e-skuter di negeri ini.

MBPP dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas dalam membasmi aktiviti perniagaan sewaan kenderaan mikromobiliti e-skuter tanpa lesen sah.

“Semalam kita merampas 44 buah e-skuter dalam serbuan di dua premis yang menjalankan perniagaan sewaan kenderaan tersebut di sekitar pusat bandar.

“Sebanyak 32 buah e-skuter dirampas di premis pertama dan seorang pekerja di premis itu yang dipercayai warga asing melarikan diri sejurus menyedari kedatangan penguatkuasa.

Tiada lesen perniagaan bagi aktiviti sewaan e-skuter dikeluarkan MBPP.

“Manakala 12 lagi e- skuter dirampas di premis kedua berhampiran lokasi pertama dan kedua-duanya didapati tidak mempunyai lesen yang sah,” katanya hari ini.

Tambah MBPP, kesemua kenderaan mikromobiliti serta dokumen pembuktian dirampas Jabatan Pelesenan bagi tindakan lanjut.

“Kita juga akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti e-skuter yang memberi kesan negatif ke atas keselamatan orang awam,” katanya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top