am@hmetro.com.my
Tangkak: Bimbang ditahan selepas didakwa terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram, seorang pembantu kedai makan kerugian RM170,000 angkara terpedaya dengan individu menyamar ‘pegawai polis’.
Mangsa wanita berusia 51 tahun sebelum itu dihubungi suspek pada 10.24 pagi, 8 Julai lalu, dan menuduhnya terjebak dalam aktiviti haram itu.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, suspek kemudiannya memperdayakan mangsa dengan memintanya membuat bayaran bagi tujuan siasatan.
“Disebabkan percaya dengan dakwaan suspek, mangsa melakukan 11 transaksi ke dalam lapan akaun berbeza disyaki akaun ‘mule” seperti mana diarahkannya.
“Bagaimanapun, mangsa mula tersedar sebelum bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, semalam,” katanya dalam kenyataan.
Roslan berkata, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Berhati-hatilah daripada menjadi mangsa penipuan dan orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat berkaitan sindiket ini di media sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




