BANGKOK: Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Thailand meluluskan penggunaan kecemasan vaksin dos tunggal COVID-19 keluaran gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat (AS) Johnson & Johnson (J&J).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul, berkata J&J adalah pengeluar vaksin ketiga yang mendapat kelulusan selepas vaksin AstraZeneca dan Sinovac yang kini digunakan dalam program vaksinasi di negara itu.
“Pengeluar vaksin COVID-19 lain dipelawa mengemukakan permohonan mereka di Thailand dan ini akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat,” menurutnya dalam hantaran di laman Facebook.
Ketua Setiausaha FDA, Paisal Dunkhum, pula berkata syarikat Sputnik V dari Russia dan Sinopharm dari China sedang melakukan persediaan untuk mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kelulusan.
Kira-Kira 96,000 orang di Thailand sudah menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 sejak program vaksinasi bermula pada 28 Februari lalu.
Setakat ini, lebih 5,800 orang diberikan suntikan vaksin sepenuhnya.
Thailand berhasrat memberikan suntikan vaksin kepada sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk negara itu menjelang akhir tahun ini. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




