Muhyiddin cabar kerajaan isytihar 6 kerusi Parlimen, 1 Dun dikosongkan

Muhyiddin cabar kerajaan isytihar 6 kerusi Parlimen, 1 Dun dikosongkan

fahmy.azril@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengisytihar enam kerusi Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (Dun) dikosongkan.

Ia selepas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional (PN) beralih pendirian dengan menyatakan sokongan kepada pihak lawan.

Mengulas lanjut cabaran itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri mahu mandat kepada rakyat dikembalikan menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi berkenaan.

“Jika berani, isytiharkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dun Selangor kosong.

“Kita kembalikan mandat kepada rakyat dan biarlah rakyat yang membuat perhitungan.

“Saya bukan hendak mendabik dada, tetapi saya yakin, insya-Allah, PN akan menang lebih besar di kerusi-kerusi ini jika pilihan raya kecil diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat PN 2024 di ibu kota, pagi ini.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu termasuk seorang lagi Adun bertindak menyatakan sokongan kepada parti seteru.

Ahli Parlimen berkenaan adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli).

Ia termasuk Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Adun Klang, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) yang sebelum adalah Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, bertindak mengisytihar sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam ucapannya, Ahli Parlimen Pagoh itu turut menggelarkan Kerajaan Perpaduan yang dianggotai Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebagai desperado atau terdesak.

Ia selepas beliau mendakwa kerajaan berkenaan sekarang dalam kedudukan tidak stabil selain tidak memperoleh keyakinan dan kepercayaan jitu rakyat.

Bagi mengaburi rakyat, beliau mendakwa wakil rakyat PN pula menjadi ‘mangsa’ apabila Kerajaan Persekutuan menawarkan ‘ganjaran’ sebagai cara untuk melemahkan pembangkang.

“Desperado. Kerajaan PH-BN ini sedang desperate (terdesak) atau cuak. Mereka tahu bahawa kedudukan mereka tidaklah sekukuh mana. Pada masa yang sama, rakyat juga telah hilang keyakinan terhadap mereka.

“Kerana itu mereka cuba melemahkan kedudukan PN dengan menawarkan pelbagai habuan kepada wakil rakyat kita untuk menyokong Perdana Menteri. Saya nak beritahu Perdana Menteri.

“Buatlah apa pun. Tindakan itu tidak akan mengubah tanggapan negatif rakyat kepada kerajaan pimpinan kamu yang gagal mentadbir negara dengan baik.

“Sebaliknya, saya percaya tindakan itu akan backfire (makan diri) kepada kerajaan PH-BN. Rakyat tahu sandiwara kamu. Rakyat tahu tujuan jahat kamu. Rakyat benci dengan perbuatan kamu,” katanya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top