mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran keras kepada peniaga dan penjaja makanan bazar supaya tidak menaikkan harga melampau sempena Ramadan kali ini.
Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, pihaknya melaksanakan Op Pantau di bazar seluruh negara sepanjang Ramadan ini bagi memastikan harga makanan tidak dijual secara melampau.
Untuk itu, katanya, seramai 2,200 pegawai penguat kuasa akan digerakkan untuk memantau bazar di seluruh negara.
“Peniaga diingatkan supaya tidak menaikkan harga sesuka hati.
“Laporan sebuah akhbar semalam (Isnin) mengatakan harga barang dunia sekarang turun, jadi tidak ada alasan menaikkan harga.
“Sekiranya didapati ada elemen mencatut, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata demikian mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai kenaikan harga kuih dan makanan tertentu di bazar Ramadan dilihat meningkat secara purata antara 10 hingga 20 peratus.
Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, melihat situasi semasa sudah pasti kenaikan harga makanan tidak dapat dielakkan pada Ramadan ini.
Namun katanya, kenaikan itu perlulah berpada-pada dan memberikan situasi menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
“Kalau tengok sekarang memang semua barang naik harga, pengguna pun faham jadi segelintir mereka lebih suka beli makanan siap sebab jimat masa dan tenaga memasak.
“Cuma kita minta peniaga dan penjaja terutama yang menjual makanan janganlah menaikkan harga terlampau tinggi sehingga menyebabkan orang marah.
“Selain itu, kerajaan juga berperanan penting mengawal kenaikan harga di peringkat pembekal supaya peniaga makanan dapat menjual pada harga berpatutan kepada pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua peniaga dan penjaja sentiasa menjaga kualiti makanan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku seperti kes keracunan makanan.
“Saya nasihatkan supaya peniaga dan penjaja memastikan makanan berada dalam keadaan baik, bersih dan sedap untuk dimakan,” katanya.
Laksana siasatan komprehensif
Penyiasatan komprehensif perlu dilaksanakan terhadap kenaikan kos bahan mentah dan kos pengangkutan bagi mengesan aktiviti perniagaan yang menyalahi undang-undang seperti perbuatan sorok, manipulasi harga dan kewujudan kartel.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perkara yang biasa dikaitkan dengan kenaikan harga makanan disebabkan kenaikan kos bahan mentah dan kos pengangkutan serta permintaan tinggi mendorong peningkatan harga barang.
Sebagai peniaga katanya, sudah pasti motif mencari keuntungan menjadi penyebab utama golongan itu memulakan sesuatu perniagaan.
“Secara umumnya, pengiraan untung adalah harga jualan ditolak kos dan kos pula terdiri daripada kos tetap seperti gaji dan sewa kedai dan kos berubah seperti kos bahan mentah dan kos pengangkutan.
“Keuntungan adalah motif utama peniaga untuk berniaga dan perkara ini perlu wujud untuk mereka meneruskan perniagaan.
“Jadi, isu kenaikan harga makanan bazar tidak semudah dengan penetapan atau kawalan harga jualan kerana harga kos bahan mentah dan pengangkutan yang terus meningkat akan menjejaskan keuntungan atau margin peniaga yang begitu signifikan bagi kelangsungan perniagaan mereka,” katanya.
Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam, berhubung harga makanan di bazar Ramadan seluruh negara secara purata mengalami peningkatan antara 10 hingga 20 peratus.
Dapatan itu hasil tinjauan Harian Metro di beberapa bazar seluruh negara pada hari pertama Ramadan, kelmarin.
Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata, isu kenaikan harga makanan ini seharusnya diperhalusi sebaiknya bagi mencapai penyelesaian menang-menang untuk semua pihak terbabit.
“Perlu ada penyiasatan terhadap setiap rantaian perniagaan dari pengeluar, pemborong dan penjual supaya penentuan harga berlaku dalam keadaan yang telus dan adil.
“Kuasa pengguna juga perlu diperkasakan melalui aduan pengguna kepada pihak berkuasa dan tindakan pantas yang perlu diambil,” katanya.
Peniaga terkesan kenaikan harga bahan mentah
Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia mengesahkan kenaikan kira-kira 20 hingga 30 peratus harga makanan dan kuih berlaku sejak penghujung tahun lalu.
Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, peniaga dan penjaja bazar Ramadan yang kebanyakannya juga berniaga di pasar malam harian terpaksa menaikkan harga jualan mereka selepas berlaku kenaikan harga barang dan bahan mentah di peringkat pembekal.
“Kita anggarkan kenaikan harga makanan dan kuih dalam 20 hingga 30 peratus kerana peniaga terkesan dengan kenaikan harga bahan mentah sejak tahun lalu.
“Kenaikan ini sudah berlaku sebelum Ramadan ini lagi iaitu pada penghujung tahun lalu kerana peniaga dan penjaja bazar Ramadan juga sebenarnya orang sama berniaga di pasar malam harian.
“Walaupun harga meningkat, maklum balas kita terima menunjukkan, kuasa membeli di bazar Ramadan kali ini nampak agresif dan tetap mendapat sambutan baik pengguna,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Beliau berkata demikian mengulas sama ada pasar malam turut mengalami kenaikan harga makanan dan kuih susulan laporan tinjauan Harian Metro di bazar Ramadan semalam yang menyaksikan peningkatan harga antara 10 hingga 20 peratus.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, tidak adil jika peniaga dan penjaja perlu menyerap kos kenaikan daripada pembekal berikutan lambat laun boleh menjejaskan perniagaan mereka.
“Bukan saja harga semakin naik, peniaga dan penjaja juga berdepan kesukaran mendapatkan bahan mentah di pasaran.
“Kalau peniaga tak naikkan harga jualan mereka, memang agak mustahil dapat bertahan dalam perniagaan diusahakan kerana bahan mentah semakin mahal.
“Jadi, saya berharap kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat mengawal harga di semua peringkat rantaian termasuk pembekal bukan hanya memfokuskan kepada peniaga dan penjaja kecil saja,” katanya.
Mengambil contoh perbandingan harga, popia di bazar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dijual RM8 satu set berbanding RM7 tahun lalu dan roti john pula RM9 berbanding RM8 sebelum ini manakala murtabak pula dijual pada harga RM7 berbanding RM5 pada 2023.
Selain itu, di bazar Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan, pula menyaksikan kuih jala mas sebelum ini enam ketul berharga RM5 kini dijual kepada RM1 seketul manakala kuih piana, tahi itik dan seri kaya tiga ketul RM2, kini dijual kepada RM1 seketul.
© New Straits Times Press (M) Bhd




