LONDON – Para pelajar University College London (UCL) turut menyertai beberapa kampus universiti lain di seluruh dunia Barat mendirikan khemah di pusat pengajian itu sebagai tanda solidariti pada rakyat Palestin di Gaza.
Kira-kira 12 khemah telah dipasang di luar bangunan utama di Bloomsbury.
Pada masa sama, kemasukan ke kampus itu telah dihadkan, hanya pelajar sahaja dibenarkan.
Tindakan pelajar di UCL itu bagi menggesa pihak pentadbiran universiti tidak terlibat dengan “jenayah perang” Israel di Gaza dengan ikrar untuk membina semula universiti di Gaza.
Sementara itu, pelajar diberitahu bahawa pemeriksaan pengenalan diri akan dilakukan di pintu pagar kampus.
Langkah itu untuk mengelakkan mana-mana individu atau organisasi luar cuba mengambil kesempatan kebenaran bersuara.
“Kami tidak boleh membenarkan sesuatu yang menyebabkan gangguan ketara kepada operasi universiti dan mengganggu tujuan utama kami sebagai tempat pembelajaran dan penyelidikan,” menurut e-mel yang dihantar UCL kepada para penuntutnya.
Waddah Alshammari, seorang warga Arab Saudi yang datang ke London dari Liverpool untuk menyokong protes itu, adalah salah seorang yang tidak dibenarkan menyertai perkhemahan itu.
Bercakap kepada Anadolu di luar kampus, beliau menyatakan solidariti dengan rakyat Palestin dan penyokong mereka.
“Semasa universiti menutup pintu, mereka tidak membenarkan sesiapa hadir dan oleh itu, kami di sini menunggu dan menunjukkan sokongan.
“Kami menuntut kuasa rakyat. Jadi, ini bukan demokrasi,” kata Alshammari, sambil menambah: “Mereka (di Gaza) mati setiap hari, mereka sedang kelaparan dan kita perlu melakukan sesuatu mengenainya,” katanya.
Anwar, jurucakap UCL Stands for Justice berkata, mereka telah meminta universiti untuk memenuhi tiga tuntutan utama.
Tuntutan tersebut ialah melepaskan perniagaan dan syarikat yang ada kaitan dengan Israel dan bersubahat melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
UCL turut dituntut mengutuk jenayah perang tersebut, dan berikrar untuk membantu pembinaan semula universiti di Gaza, yang telah dimusnahkan,” kata.
Protes itu akan diadakan sehingga UCL memperakui tuntutan kami,” kata Anwar lagi sambil menambah kawalan ketat yang dilakukan universiti tidak menghalang pertambahan penyertaan dalam perkhemahan tersebut.
Beliau berkata, lebih ramai orang “datang dan berdiri bersama kami untuk menuntut universiti kami melepaskan diri daripada syarikat-syarikat ini, yang memusnahkan penduduk awam di Gaza.
Gelombang global demonstrasi pelajar pro-Palestin bermula pada 17 April di Universiti Columbia untuk membantah serangan Israel di Gaza, kini merebak ke negara Barat lain. – Agensi




