Goh Sze Fei, Nur Izzuddin terperangkap dengan ketangkasan bergu China

Goh Sze Fei, Nur Izzuddin terperangkap dengan ketangkasan bergu China

CHENGDU, 5 Mei (Bernama) — Ketangkasan pemain beregu lelaki China, He Ji Ting dalam set penentuan perlawanan keempat antara China dan Malaysia pada aksi separuh akhir malam tadi merupakan faktor utama kekalahan pasangan negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Selepas Malaysia ketinggalan 2-1 kepada China, Sze Fei-Nur Izzuddin menjadi sandaran untuk menghidupkan peluang negara ke final sekali gus berpeluang menamatkan kemarau 32 tahun tanpa sebarang kejuaraan Piala Thomas.

Walaupun beregu di ranking ke-15 dunia itu memberikan sinar harapan apabila menang set pertama 21-18, namun Ji Ting dan pasangannya Ren Xiang Yu bangkit memenangi dua set 21-19, 21-12 untuk kemenangan 3-1 buat tuan rumah.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia Rexy Mainaky berkata, Ji Ting wajar diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan kerana berjaya mengawal permainan bagi membawa pasukannya ke final bertemu Indonesia, yang menumpaskan Taiwan 3-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

“Sze Fei-Nur Izzuddin pada awalnya bermula bagus namun dalam set kedua dan ketiga ketika di mata penting, mereka kaku dan memberikan hasil kepada lawan,” katanya kepada media Malaysia ketika ditemui di hotel pasukan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rexy berkata juara beregu lelaki dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula terikut-ikut rentak permainan gandingan nombor satu dunia Liang Wei Keng-Wang Chang sehingga tumpas set pertama aksi kedua 15-21 sebelum bangkit menyumbang satu-satunya mata buat negara dengan kemenangan, 21-12, 21-17.

Bagaimanapun Rexy menuntut pasangan utama negara itu untuk beraksi lebih teguh dan konsisten menjelang Sukan Olimpik 2024 selepas mereka pada beberapa ketika hampir membiarkan pasangan China mengutip mata demi mata selepas mendahului dengan selesa pada set ketiga.

Mengenai prestasi pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia, Rexy berkata, pemain ranking ke-10 dunia itu tetap memberikan tekanan kepada pemain utama China, Shi Yu Qi sebelum tumbang di set pertama 19-21, namun lawan menampilkan aksi cemerlang bagi memberikan China kelebihan awal menerusi kemenangan mudah 21-5 dalam masa 39 minit.

Dalam pada itu, Rexy berkata semangat pasukan ketika ini dilihat tetap positif walaupun nasib tidak menyebelahi mereka malam tadi.

“Saya harap mereka dapat bangkit pada kejohanan mendatang termasuk Masters Malaysia bulan ini dan Sukan Olimpik 2024 di Paris nanti,” katanya.

Malaysia membuka kempen Kumpulan D dengan kemenangan besar 5-0 menentang Hong Kong dan Algeria, namun gagal mengungguli kumpulan selepas tewas 2-3 kepada Denmark.

Khamis lepas, pasukan negara mengetepikan Jepun 3-1 untuk mara ke separuh akhir selepas lapan tahun. – BERNAMA

 

Scroll to Top