syafil.syazwan@hmetro.com.my
STESEN radio berkonsep Islamik, Zayan mula mencuri perhatian selepas menunjukkan peningkatan dari segi jumlah pendengar.
Berita itu dikongsikan sendiri oleh Pengurus Penjenamaan Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor yang bernazar akan membotakkan kepala sekiranya ada peningkatan.
“Saya bernazar kalau rating naik, saya akan botakkan kepala dan tak sangka perkara ini boleh menjadi kenyataan. Kalau ada rezeki, saya akan kongsikan. Mungkin di kedai gunting selepas Aidiladha ini.
“Tak ada penurunan atau kenaikan mendadak. Dia mendatar. Peningkatan pun dalam keadaan tenang,” katanya.
Ketika stesen radio lain mengejar kedudukan, Zayan selesa mempertaruhkan kandungan dan pengisian sebagai keutamaan.
“Kami lebih kepada pengisian. Mungkin kami tidak terbabit untuk mengejar kedudukan kerana kami sibuk memperkasakan definisi manfaat. Pengisian bagaimana yang boleh memberi kesan positif.
“Kedudukan ini mungkin menjadi sebutan pendengar. Tapi, Zayan belum ke arah itu sebaliknya lebih kepada kandungan yang diberikan fokus.
“Apabila ada peningkatan, maknanya apa yang kami aturkan berada di landasan yang betul. Jadi, kami akan peka kepada isu semasa dan memberi penyelesaian. Kami adalah platform untuk ustaz dan ustazah berkongsi, mencari penyelesaian,” katanya.
Berkongsi lebih lanjut mengenai pengisian kandungan di Zayan, Wan Syahrul mengetengahkan identiti yang berbeza.
“Zikir yang ada di Zayan menjadi satu identiti yang jelas. Maksudnya, selain mempromosikan nasyid dan gaya hidup Islamik, kami akan tambah dengan zikir, selawat dan alunan surah lazim. Jadi, personaliti Zayan itu begitu dan jelas.
“Untuk surah, kami pasang pada waktu malam saja. Secara keseluruhan, dalam empat jam sehari. Memang kami adakan segmen khas iaitu Zayan Surah.
“Sebelum ini, kami promosikan di aplikasi Syok, jadi sekarang segmen sama yang dikuasakan Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan), kami bawa ke radio. Setakat ini, dah setahun segmen ini berkumandang,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Astro Radio dan Syok, Priya Prabakaran berkata, Zayan sentiasa komited menjadi stesen radio pilihan rakyat Malaysia dengan kandungan Islamik.
“Di Zayan, kami komited dalam menjadi pilihan pertama Malaysia untuk kandungan Islam dengan menyediakan program yang memperkaya, tulen dan menarik yang selaras dengan nilai dan kepercayaan pendengar kami.
“Kami merancang untuk terus mencapai matlamat ini melalui pembentukan kandungan inovatif, dan pembabitan komuniti sama ada ke udara di radio, liputan dalam talian dan acara di lokasi terpilih.
“Sehubungan itu, kami di Zayan berdiri sebagai stesen radio yang fokus kepada kandungan agama Islam, sentiasa menyahut cabaran dengan menyesuaikan diri kepada keperluan pendengar serta sering mengadakan kerjasama dengan pendakwah, ustaz dan pempengaruh terkemuka.
“Kami juga mengekalkan kualiti kandungan dan ketulenan dalam siaran kami. Matlamat kami adalah untuk mencipta platform yang dipercayai, bukan sahaja memberi maklumat, tetapi juga memberi inspirasi dalam menyatukan komuniti Muslim di Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




