am@hmetro.com.my
Kuantan: Pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,200 sejak 31 Julai 2018 sehingga September 2022.
Tertuduh, Solehuddin Isa, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan pertama sehingga empat, tertuduh didakwa menerima suapan antara RM300 dan RM2,000 daripada pemilik sebuah syarikat melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaun tertuduh.
Ia sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori milik syarikat berkenaan yang membawa keluar barang dari kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Empat kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Temerloh antara 31 Julai 2018 hingga 11 September 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Afif Ali manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Nazri Yahya dan Mohd Faiz Omar.
Terdahulu, Mohd Afif mencadangkan jaminan RM10,000 dengan penjamin dan syarat tambahan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh meminta wang jaminan dikurangkan kepada RM3,000 kerana gaji rendah dan menanggung isteri dan enam anak berumur antara tiga bulan dan 10 tahun.
Mahkamah kemudiannya memutuskan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Putrajaya dan mengarahkan tertuduh tidak mengganggu saksi sehingga perbicaraan selesai.
Mahkamah menetapkan 19 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd




