Jasmine berdepan Iga di final Terbuka Perancis

Jasmine berdepan Iga di final Terbuka Perancis

Paris: Jasmine Paolini berkata dia tidak pernah bermimpi untuk mara ke final Grand Slam selepas mengesahkan pertemuan menentang penyandang juara, Iga Swiatek di final Terbuka Perancis.

Pilihan ke-12 dari Itali, Jasmine menamatkan cabaran pemain sensasi Rusia berusia 17 tahun, Mirra Andreeva dalam aksi separuh akhir dengan kemenangan 6-3, 6-1 untuk mara ke final Grand Slam pertamanya pada usia 28 tahun.

“Ia satu perasaan yang hebat dapat berada di final Grand Slam. Saya tidak tahu. Nampaknya sesuatu yang mustahil, anda tahu, tetapi ia benar,” kata Jasmine dengan wajah gembira.

Ia adalah satu transformasi yang menakjubkan untuk pemain yang tidak pernah melepasi pusingan kedua kejohanan utama sebelum permulaan tahun ini.

Pemain nombor 15 dunia itu memenangi empat perlawanan dalam 16 penampilan Grand Slam sebelum mara ke pusingan keempat Terbuka Australia pada Januari.

Kini hanya tinggal satu langkah lagi untuk dia merangkul kejuaraan yang dilihat mustahil di Roland Garros ketika dia cuba mencontohi rakan senegaranya Francesca Schiavone yang memenangi Terbuka Perancis pada 2010.

“Saya menyaksikan pemain Itali lain berjaya mara ke pusingan akhir dan juga memenangi Grand Slam, tetapi (untuk) membayangkan bahawa saya sendiri adalah sukar,” kata Jasmine.

“Sudah tentu, saya berharap, tetapi kini ia sesuatu yang gila bagi saya. Saya sangat gembira. Terkejut juga.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top