Syukur membesar dapat 'tumpang' kasih sayang bapa tiri

Syukur membesar dapat 'tumpang' kasih sayang bapa tiri

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lebih 24 tahun lalu, dua beradik lelaki berusia empat tahun dan lapan tahun ketika itu dibawa berpindah dari kampung halaman mereka di Kelantan ke Kedah untuk tinggal bersama keluarga baharu selepas ibu mereka berkahwin lain.

Ketika itu mereka berasa takut tinggal bersama bapa tiri namun perasaan itu hilang apabila mereka bukan saja dijaga dengan penuh kasih sayang seperti anak sendiri oleh lelaki itu.

Itu pengalaman dilalui seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mohd Syahmi Sidek, 33, bersama adik Muhammad Iffat Isam, 30, yang membesar dengan ‘menumpang’ kasih sayang bapa tiri, Ahmad Asri Saad, 59.

Menurutnya, ibu, Zainun Che Mud, 54, berkahwin dengan Ahmad Asri selepas berpisah dengan bapa kandungnya dan mereka kemudian turut dibawa tinggal bersama di rumah keluarga lelaki itu di Kuala Nerang, Kedah.

“Walaupun kami cuma anak tiri, tetapi ayah melayan kami seperti anaknya sendiri. Ayah juga tak pernah mengungkit siapa kami dan dia juga tak pernah pukul atau menjentik kami biarpun zaman kanak-kanak kami agak nakal.

“Walaupun ayah tiri dan mak dikurniakan dua anak, saya dan adik tetap dilayan dengan baik. Ayah tiri juga berusaha sekolahkan kami biarpun cuma bekerja kampung saja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Katanya, bapanya itu disifatkan seorang lelaki yang berhati mulia, pendiam, tidak suka marah dan tidak berkira.

“Selain kami, bapa tiri turut menjaga dua anak saudara iaitu anak abangnya yang sudah meninggal dunia.

“Kehidupan kami di kampung bukan senang. Ini menyebabkan saya mengambil upah membuat kerja kampung seperti menoreh getah sebelum pergi sekolah sesi petang.

“Meskipun ayah tidak memaksa saya bekerja namun saya ambil tanggungjawab itu untuk kurangkan beban ayah,” katanya.

Menurutnya, dia memilih menyertai TUDM selepas tamat persekolahan dan menjadi anak pertama dalam keluarga yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

“Pengorbanan dan kebaikan ayah tiri membesarkan saya dan adik tidak dapat dibalas sampai bila-bila. Daripada dia juga kami belajar banyak perkara dalam hidup menjadikan saya tidak takut hidup susah,” katanya yang menetap di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Ahmad Asri yang menetap di Kuala Nerang, Kedah berkata, Mohd Syahmi dan Muhammad Iffat Isam adalah anak kesayangannya meskipun bukan darah dagingnya.

“Saya tak pernah anggap mereka anak tiri, mereka anak saya. Saya jaga mereka dengan ikhlas. Hati saya amat gembira melihat mereka berjaya dalam kerjaya dan berkeluarga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top