bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 membabitkan penalti maksimum RM10 juta dilakukan selepas mengambil kira kos jutaan ringgit dibelanjakan kerajaan bagi membersihkan pencemaran oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar, berkata di Selangor, kerajaan negeri sendiri terpaksa membelanjakan jutaan ringgit bagi pembersihan Sungai Semenyih pada 2016 yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih terpaksa ditutup.
Dalam kejadian itu, LRA Semenyih ditutup selepas satu cabang Sungai Semenyih iaitu Sungai Lalang, dicemari sisa pepejal dari beberapa kilang sehingga menyebabkan bekalan air ke beberapa kawasan seperti Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling terjejas.
“Pembersihan Sungai Semenyih yang tercemar pada masa itu membabitkan kos pembersihan RM8 juta, manakala pencemaran Sungai Kim Kim (Pasir Gudang) pula membabitkan RM6 juta.
“Berdasarkan beberapa senario ini, wajar angka bagi penalti maksimum itu dinaikkan kepada RM10 juta disamping hukuman penjara mandatori bagi memberi pengajaran kepada pesalah pencemar air.
“Kesan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab ini menyebabkan kesukaran kepada jutaan akaun pengguna dan menjadi antara isu yang sering meresahkan rakyat Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Air Selangor anjuran Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang diadakan secara maya bersempena Sambutan Hari Air Sedunia 2021 Peringkat Negeri Selangor bertemakan Menghargai Air.
Sesi kendalian Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Salmah Zakariah itu turut disertai Pengarah LUAS, Hasrolnizam Shaari.
Nor Aziah berkata, pindaan kepada akta itu juga dilihat bersesuaian bagi menangani cabaran terpaksa dihadapi pihak berkuasa bagi menangani sikap pelaku pencemaran yang disifatkannya sebagai sudah semakin licik.
“Pelaku kini tidak lagi menggunakan cara lama dengan mencampak bahan buangan dari tepi sungai.
“Ada antaranya kini membabitkan rangkaian sindiket serta pelbagai proksi dan ini yang dikesan berdasarkan analisis jenayah alam sekitar terutamanya membabitkan pencemaran sumber air,” katanya.
Sementara itu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam ucapannya ketika merasmikan forum berkenaan berkata, sehingga 22 Mac, sebanyak sembilan kes pencemaran diambil tindakan sekali gus mengelakkan henti tugas LRA dan gangguan bekalan air kepada pengguna.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui LUAS dan semua agensi berkaitan sentiasa siap siaga dan proaktif dengan langkah pencegahan melalui pemantauan 24 jam dan berkala bagi memastikan sumber air negeri terutamanya sungai terpelihara.
“Adalah menjadi hasrat saya melihat semua pihak untuk sama-sama berganding bahu bagi memastikan sumber air kita dapat terus dinikmati.
“Saya menyeru kepada semua untuk mengambil sikap cakna dan memainkan peranan masing-masing dalam memelihara dan memulihara sumber air kita bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




