Bank Rakyat tawar penangguhan bayaran pembiayaan kepada mangsa kebakaran di Sandakan

Bank Rakyat tawar penangguhan bayaran pembiayaan kepada mangsa kebakaran di Sandakan

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bank Rakyat menawarkan penangguhan bayaran ansuran pembiayaan sehingga enam bulan kepada pelanggannya yang menjadi mangsa dalam insiden kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah, baru-baru ini.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, penangguhan itu membabitkan Pembiayaan Perumahan-i, Peribadi-i, Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Mikro-i, Pajak Gadai-i serta Kad Kredit-i, tertakluk pada terma dan syarat yang ditetapkan.

“Kami menzahirkan rasa simpati kepada semua mangsa yang terkesan oleh tragedi kebakaran ini yang mana memusnahkan kira-kira 1,000 rumah.

“Tawaran penangguhan bayaran ansuran pembiayaan ini salah satu langkah proaktif Bank Rakyat yang sentiasa bersedia untuk membantu pelanggan kami dalam waktu sukar,” kata Bank Rakyat.

Bank Rakyat berharap supaya mangsa yang terbabit tabah dalam menghadapi cabaran yang tidak diduga ini dan semoga bantuan penangguhan bayaran pembiayaan ini dapat memberikan kelegaan serta mengurangkan beban kewangan yang mereka hadapi.

Selain itu, pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas boleh memohon menerusi e-mel, telerakyat@bankrakyat.com.my atau kkredit@bankrakyat.com.my bagi pemegang Kad Kredit-i.

Untuk maklumat lanjut, mereka boleh melayari laman web www.bankrakyat.com.my dan media sosial rasmi @mybankrakyat atau kunjungi cawangan, Pusat Kad dan Susulan Berpusat Bank Rakyat yang berdekatan serta hubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1300800800.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top