Penyanyi dan komposer versatil, Aina Abdul kembali dengan single terbaharu berjudul ‘Berjauh-an’ yang dilancarkan hari ini.
Lebih menarik, lagu tersebut dipilih sebagai single utama untuk album kedua yang dijangka menemui peminat tahun ini, sekali gus memberi bayangan awal terhadap hala tuju muzik dan konsep yang bakal dibawakan.
Terkenal dengan kekuatan vokal serta keupayaan menyampaikan emosi, Aina sekali lagi mempertaruhkan karya yang dekat dengan kehidupan.
‘Berjauh-an’ mengangkat kisah hubungan yang diuji oleh jarak dan masa, menyelami perjalanan emosi apabila perasaan yang dahulunya kuat semakin pudar hingga akhirnya terpaksa dilepaskan.
Lagu ini turut menyaksikan kolaborasi bersama Vega Antares Setianegara, produser dari Indonesia yang dikenali dengan sentuhan muzik moden dan emosional. Kerjasama ini memberi nafas baharu dari segi bunyi dan susunan muzik, menjadikan karya tersebut lebih segar.
Dari sudut muzik, Aina tampil dengan pendekatan berbeza apabila bereksperimen dengan genre yang jarang diterokai sebelum ini.
Langkah itu diambil bagi membezakan identiti antara album pertama dan kedua, selain membuktikan keupayaannya sebagai artis yang fleksibel dalam pelbagai gaya muzik.

Lebih bermakna, lagu ini sepenuhnya hasil idea dan penulisan Aina sendiri, sekali gus menjadikannya karya yang cukup peribadi. Aina turut menganggap ‘Berjauh-an’ sebagai hadiah khas buat peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.
“Lagu ini berkisar tentang hubungan yang tewas kerana jarak dan masa. Ada ketika seseorang terpaksa melepaskan pasangan walaupun kenangan dan rasa sayang masih ada. Dalam tempoh yang panjang, jarak itu perlahan-lahan mengubah hati hingga akhirnya perasaan itu hilang,” katanya.
Aina turut mengakui proses menghasilkan lagu ini bukan sesuatu yang mudah, terutama dari segi penulisan dan penentuan arah muzik.

“Cabaran paling besar adalah untuk menentukan gaya muzik dan cara penulisan yang tepat. Selepas ‘Imaji’, saya mahu tampil dengan sesuatu yang berbeza. Saya banyak dipengaruhi muzik pop jazz, jadi saya cuba hasilkan lagu yang ada elemen bossanova tetapi masih kedengaran moden.
“Mencari produser yang sesuai juga mengambil masa agak lama kerana saya mahu pastikan visi muzik ini jelas. Akhirnya saya memilih untuk bekerjasama dengan Vega bagi merealisasikan idea dan susunan muzik yang saya bayangkan,” ujarnya.
Dengan gabungan melodi yang menyentuh perasaan dan lirik yang mendalam, ‘Berjauh-an’ dijangka memberi kesan kepada pendengar terutama mereka yang pernah melalui hubungan jarak jauh atau perpisahan yang sukar.
Single ini kini boleh didengari di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube bermula 24 April 2026. Muzik video rasmi pula akan dilancarkan pada 26 April di saluran YouTube rasmi Aina Abdul, menampilkan visual sinematik yang memperkukuh emosi dan penceritaan lagu ini.




