Washington: Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) semalam memaklumkan pasukannya menaiki sebuah kapal di Lautan Hindi yang memberikan sokongan material kepada Iran.
Tindakan itu adalah kali kedua dilakukan dalam tempoh tiga hari.
“Pasukan AS melaksanakan pintasan maritim dan menaiki kapal M/T Majestic X yang dikenakan sekatan serta tidak mempunyai negara di Lautan Hindi.
“Kapal berkenaan dikesan membawa minyak dari Iran,” katanya menerusi kenyataan di platform X, semalam.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa AS akan terus melaksanakan penguatkuasaan maritim global bagi mengganggu rangkaian haram.
Selain itu, ia bertujuan memintas kapal yang menyediakan sokongan material kepada Iran di mana-mana sahaja lokasi operasi mereka.
Hantaran berkenaan turut memaparkan rakaman anggota tentera AS melakukan teknik ‘rappelling’ dari helikopter ke dek sebuah kapal tangki besar.
Operasi itu dijalankan di bawah kawasan tanggungjawab Markas Indo-Pasifik AS yang meliputi wilayah luas merangkumi Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memberikan lokasi tepat di mana operasi berkenaan dijalankan.
Terdahulu, Jabatan Pertahanan AS pada 21 April lalu memaklumkan tenteranya turut menaiki kapal M/T Tifani yang juga dikenakan sekatan dan tidak mempunyai negara.
Menurut firma risikan Vanguard Tech, M/T Tifani adalah kapal tangki yang berlayar di bawah bendera Botswana dan turut dipintas di Lautan Hindi bagi tujuan penguatkuasaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




