Iserlohn, Jerman: Disebalik kegagalan Itali di Euro 2024, kedudukan pengendali Luciano Spalletti tetap selamat dan beliau dijangka terus membimbing pasukan itu, kata ‘orang’ nombor satu Persekutuan Bolasepak Itali.
Awal pagi tadi, skuad Azzuri terkeluar daripada saingan apabila tewas 2-0 kepada Switzerland di peringkat 16 terbaik sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan dimenangi pada edisi lalu.
“Saya seorang yang berdiplomasi…dengan memecat jurulatih atau pemain ia tidak akan membantu, malah tindakan itu akan mengganggu perancangan jangka panjang kami,” kata Gabriele Gravina yang juga Presiden Persekutuan Bolasepak Itali.
Spalletti dilantik mengemudi pasukan kebangsaan Itali bagi menggantikan Roberto Mancini yang membawa pasukan itu menjuarai Euro pada 2020 lalu.
“Spalletti adalah harapan bola sepak Itali, kami mahu beliau terus bekerja untuk pasukan. Beliau mempunyai masa 60 hari untuk menyiapkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Negara-Negara,” kata Gravina.
Terdahulu, Spalletti menjadi pilihan mengisi kerusi ditinggalkan Mancini selepas membawa Napoli melakar sejarah menjuarai Serie A.
Bagaimanapun sejak kehadirannya, banyak perubahan dilakukan oleh jurulatih berusia 65 tahun itu termasuk pemilihan pemain, formasi, taktikal dan gaya permainan yang nyata tidak digemari pemerhati bola sepak Itali.
© New Straits Times Press (M) Bhd




