Bukan mabuk, pemandu lori dipercayai terlelap sebelum rempuh kedai makan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemandu lori yang tular didakwa mabuk selepas merempuh bahagian hadapan kedai makan di Jalan Batu 12 Cheras, dekat sini, semalam sebenarnya dipercayai terlelap ketika memandu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika lori berkenaan dalam perjalanan menghala ke Cheras.

Beliau berkata, pemandu lelaki tempatan berusia 37 tahun itu dipercayai terlelap sehingga hilang kawalan sebelum melanggar struktur hadapan sebuah kedai makan.

“Akibat kejadian itu, lori mengalami kerosakan kecil di bahagian hadapan, manakala kedai makan berkenaan mengalami kerosakan pada payung perniagaan serta kelengkapan dapur.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Naazron berkata, polis mengesan rakaman video kejadian itu yang tular di media sosial kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Rakaman berkenaan memaparkan lori terbabit bergerak di jalan raya selepas kejadian, manakala hantaran yang mengiringi video itu mendakwa pemandunya mabuk dan tidak mahu berhenti.

Katanya, kes disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59.

Polis meminta individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-2111 9379 bagi membantu siasatan.

Naazron turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhemah, mematuhi peraturan jalan raya dan berhati-hati ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top