Ipoh: Taman Agroteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Cameron Highlands ditutup sementara bermula esok sehingga diberitahu kelak susulan kejadian banjir lumpur yang melanda kawasan itu hari ini.
Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands menerusi kenyataan di laman Facebook memaklumkan penutupan itu susulan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan yang perlu dilaksanakan sebelum ia selamat dibuka semula kepada pengunjung.
Kenyataan itu memaklumkan insiden tersebut turut menjejaskan beberapa kawasan di sekitar taman berkenaan.
“Pihak pengurusan memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan amat menghargai kesabaran serta keprihatinan semua pihak.
“Semoga segala urusan pembersihan dan pemulihan dipermudah, dan Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands dapat kembali pulih seperti sediakala. Sama-sama kita doakan yang terbaik,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, tular di laman sosial Threads situasi banjir kilat di beberapa lokasi di Cameron Highlands, dengan rakaman menunjukkan air keruh melimpah ke jalan raya, kawasan perumahan dan menenggelami sebahagian kenderaan.
Seorang pengguna Threads @farah.ilyanaa memuat naik hantaran memaklumkan keadaan di Cameron Highlands petang tadi kurang baik berikutan hujan lebat berterusan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
