RM1.2 juta disalur untuk 5 Projek Kampung Angkat MADANI di Besut

nurul_husna@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Peruntukan sebanyak RM1.2 juta disalurkan bagi melaksanakan lima projek pembangunan di bawah Program Kampung Angkat MADANI Kementerian Ekonomi Tahun 2025 di Kampung Pinang Besut, Terengganu.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, pelaksanaan program itu bukti komitmen kerajaan bagi memastikan dasar dan peruntukan di peringkat Persekutuan diterjemahkan kepada pembangunan fizikal yang boleh dilihat, digunakan serta dirasai sendiri oleh rakyat.

“Pendekatan ini mencerminkan aspirasi Ekonomi MADANI yang memberi penekanan kepada usaha menaikkan siling pertumbuhan ekonomi dan pada masa sama menaikkan lantai darjat hidup rakyat.

“Pembangunan negara bukan sahaja perlu membuka ruang kepada ekonomi untuk berkembang lebih tinggi, malah perlu memastikan masyarakat di peringkat akar umbi turut mendapat manfaat,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI Kementerian Ekonomi Tahun 2025 di Besut, hari ini.

Projek pembangunan yang dilaksanakan merangkumi pembinaan jalan, pusat komuniti, pemasangan lampu solar, baik pulih lintasan serta projek Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bersama Kolej Vokasional Besut bagi kerja menaik taraf balai raya dan pagar.

Mohd Shahar turut mengingatkan penduduk supaya memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan dan memeliharanya dengan baik agar memberi impak berterusan.

“Guna dan usahakan supaya fasiliti ini dapat memberi perubahan kepada masyarakat Kampung Pinang,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan masyarakat khususnya generasi muda, untuk bersedia merebut peluang ekonomi baharu menerusi pembangunan infrastruktur dan pelaburan di kawasan berkenaan.

Beliau berharap projek berkenaan menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti yang lebih aktif, berdaya tahan dan mampu memanfaatkan peluang pembangunan pada masa hadapan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top