am@hmetro.com.my
Seremban: Jabatan Imigresen (JIM) menahan 142 pendatang asing tanpa izin (Pati) selepas menggempur 34 lokasi tumpuan sekitar Kuala Pilah, selama tiga hari sejak Jumaat lalu.
Penahanan itu membabitkan 23 lelaki dan tiga wanita warga Myanmar, enam lelaki warga Pakistan, 54 lelaki dan 17 wanita warga Indonesia, 32 lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki serta empat wanita warga Kemboja dan dua lelaki warga India.
Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Kennith Tan Ai Kiang berkata, semua yang ditahan berusia antara 21 hingga 54 tahun.
Katanya, semua Pati itu ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 selepas pemeriksaan ke atas 315 individu dari pelbagai negara.
“Ramai dalam kalangan Pati yang ditahan dipercayai berpindah ke daerah Kuala Pilah akibat daripada operasi yang giat dilaksanakan di Seremban dan Nilai.
“Ketika operasi dijalankan, ada cubaan warga asing melarikan diri kerana ketakutan, selain turut berlaku pergelutan antara warga asing dengan pihak imigresen di salah sebuah premis, namun kesemua mereka berjaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua Pati yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut.
Katanya, sebanyak 19 borang saman saksi juga dikeluarkan kepada majikan atau penjaga premis untuk hadir ke JIM Negeri Sembilan bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




