am@hmetro.com.my
Besut : Seorang lelaki meninggal dunia ketika menyertai aktiviti mencandat sotong di perairan Besut, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, polis menerima laporan berhubung kematian mangsa jam 1.16 pagi.
Katanya, mangsa, 59 tahun beralamat dari Jerangau, Dungun dipercayai rebah secara tiba-tiba di atas bot ketika berada di laut.
“Rakan-rakan mangsa bertindak memberikan bantuan kecemasan (CPR) namun mangsa tidak memberi sebarang tindak balas.
“Mangsa kemudian dibawa pulang ke Jeti Kampung Tanjung Lali, Besut sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk tujuan bedah siasat.
“Bedah siasat yang dijalankan mengesahkan punca kematian adalah akibat serangan jantung (Myocardial Infarction) dan tiada unsur jenayah.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memastikan tahap kesihatan sentiasa berada dalam keadaan baik sebelum menyertai aktiviti di laut bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




