Polis tahan 2 lelaki disyaki 'digaji' anjur pertaruhan judi bola sepak Euro 2024

Polis tahan 2 lelaki disyaki 'digaji' anjur pertaruhan judi bola sepak Euro 2024

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Polis menahan dua lelaki di unit kondominium di Jalan Genting Klang dan Taman Wahyu di sini, selepas disyaki melakukan pertaruhan judi bola sepak Euro 2024, semalam.

Penahanan kedua-dua mereka dilakukan Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Bukit Aman jam 9 pagi hasil maklumat dan risikan.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dua lelaki tempatan yang ditahan disyaki berperanan sebagai penganjur dengan menerima gaji sehingga RM5,000.

Menurutnya, risikan dijalankan mendapati suspek menjalankan kegiatan itu menerusi laman sesawang yang disyaki menjalankan kegiatan catat taruh perjudian secara dalam talian berkait bola sepak Euro 2024.

“Siasatan mendapati gaji yang diterima sebulan sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 dan kegiatan yang mengaut untung sehingga RM12,000 seharian.

“Dipercayai kegiatan ini beroperasi 24 jam dan mempunyai syif bagi melakukan urusan pertaruhan di kondominium,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan untuk mengenal pasti rangkaian suspek.

“Kedua-dua tangkapan masing-masing dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dan IPD Sentul untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai dinasihat tidak terbabit dengan sebarang aktiviti perjudian haram dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti sedemikian untuk melaporkan kepada polis,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top