zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Sesi perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 pada sebelah petang kecoh selepas Ahli Parlimen pembangkang didakwa memberi fakta palsu berhubung pegangan BlackRock Inc dalam Global Infrastructure Partners (GIP).
Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) ketika membahaskan LKAN meminta Ketua Audit Negara membuat audit cadangan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada GIP.
Beliau mendakwa, Blackrock, yang dikaitkan dengan Israel memiliki 100 peratus saham GIP.
“Kita harap audit dilakukan ke atas MAHB ini akan ada dapatan bahawa tidak perlu kita buat tawaran saham MAHB ini,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan Awang itu dibantah Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor), yang membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (12) kerana Awang didakwa mengelirukan Dewan.
“(Pendang) kata 100 peratus (GIP) dimiliki Blackrock. Sila tunjukkan bukti sebab itu fakta yang palsu, tidak betul.
“Speaker, sila buat petua. Itu kenyataan palsu yang diketahui umum. Jangan bina naratif dengan fakta yang mengelirukan Dewan. Sila tarik balik,” katanya.
Bagaimanapun, Awang mempertahankan kenyataannya dan tidak mahu menarik balik kenyataan berkenaan.
Awang kemudian membacakan laporan yang didakwa menyebut mengenai pemilikan 100 peratus GIP oleh Blackrock, namun ia dinafikan Chuan How.
“Mohon tarik balik. Penjualan (GIP kepada Blackrock) iti tida berlaku, belum berlaku dan ia tidak memiliki. Jangan mengelirukan Dewan… inilah taktik mereka,” katanya.
Susulan Awang enggan menarik kenyataan itu, Timbalan Yang Dipertua, Alice Lau Kiong Yieng kemudian meminta Chuan How mengemukakan usul kepada Dewan mengenainya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




