Gallas alu-alukan kedatangan Calafiori ke Arsenal

Gallas alu-alukan kedatangan Calafiori ke Arsenal

London: William Gallas menyokong keputusan Mikel Arteta untuk menandatangani Riccardo Calafiori dan pembelian itu pasti akan memperkuatkan pertahanan Arsenal yang sememang sudah kukuh.

Pemain antarabangsa Itali itu, yang boleh bermain sama ada di bahagian tengah atau bek kiri, akan menyertai The Gunners tidak lama lagi selepas kejayaan dalam rundingan dibuat awal minggu ini.

Calafiori dijangka terbang ke London untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan sekiranya lulus, dia akan berlepas ke Amerika di mana Arsenal sedang menjalani aksi pra-musim mereka.

Kehadiran pemain berusia 22 tahun ini mungkin menimbulkan masalah bagi dua pemain Arsenal yang mungkin akan semakin tersisih dari skuad Arteta, iaitu Jakub Kiwior dan Oleksandr Zinchenko.

Kiwior bergelut untuk mendapatkan kepercayaan Arteta sejak perpindahannya dari Spezia 18 bulan lalu dan berminat untuk kembali ke Serie A selepas dilaporkan ingin berpindah ke Inter.

Sementara itu, Zinchenko memberikan impak awal yang sangat positif selepas perpindahannya ke Arsenal dari Manchester City dua tahun lalu, tetapi prestasinya merosot dengan ketara musim lalu.

Dia juga berdepan beberapa siri kecederaan kecil yang mempengaruhi penampilannya.

Walaupun menghadapi masalah di posisi bek kiri, Arsenal mempunyai pertahanan terbaik di Liga Perdana musim lalu tetapi Gallas percaya kehadiran Calafiori akan menjadikan mereka lebih hebat.

“Saya ada bercakap dengan salah seorang rakan saya yang tahu banyak tentang bola sepak Itali dan bertanya kepadanya apa pendapatnya tentang Calafiori.

“Rakan saya pernah bermain di Itali selama beberapa tahun dan menonton Serie A setiap minggu.

“Dia pernah bermain untuk Inter Milan dan Lazio, dia pemain hebat, tetapi saya tidak akan sebut siapa dan dia memberitahu saya bahawa Calafiori memang sangat, sangat bagus,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top