Lelaki maut tercampak dan tersepit di bawah kereta

Lelaki maut tercampak dan tersepit di bawah kereta

am@hmetro.com.my

Ipoh: Lelaki meninggal dunia selepas tercampak keluar daripada kereta dipandunya dan tersepit di bawah kenderaan itu, semalam.

Kejadian tragik pada 7.55 pagi itu berlaku di KM265.6 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan, kira-kira lima kilometer dari Terowong Menora.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa di lorong kanan, hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan bergesel dengan kereta dipandu lelaki berumur 39 tahun.

“Kereta mangsa turut terlanggar tiang papan tanda di kiri jalan dan berpusing masuk ke parit di bahu kiri jalan.

“Semasa kereta sedang berpusing, mangsa dipercayai tercampak keluar dari kereta dan kemudiannya tersepit di bawah kenderaannya,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat, manakala pemandu sebuah lagi kereta tidak cedera.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 atau melaporkan di mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top