Sasar tingkat 10% pengguna domain .my menjelang 2025

Sasar tingkat 10% pengguna domain .my menjelang 2025

Kuala Lumpur: MYNIC Bhd (MYNIC), sebuah agensi di bawah Kementerian Digital menyasarkan peningkatan lima hingga 10 peratus pengguna tempatan dan antarabangsa bagi domain .my menjelang 2025 daripada anggaran 400,000 pengguna menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata, syarikat itu menerima banyak permohonan daripada pelbagai sektor termasuk pertanian, pembuatan, teknologi dan perbankan.

“Kami menerima permohonan daripada syarikat tempatan dan antarabangsa. Dengan perniagaan baharu menyertai ekonomi digital, termasuk usaha niaga mata wang kripto, kami yakin sasaran tersebut dapat dicapai,” katanya kepada Bernama.

Hasnul turut menekankan matlamat agensi itu untuk menggalakkan usahawan mendaftarkan perniagaan mereka dengan domain .my untuk meluaskan jangkauan mereka.

Beliau memberi contoh kejayaan seorang penternak ayam yang menggunakan domain mereka.

“Selepas melancarkan laman webnya menggunakan domain .my, jualan ayamnya meningkat daripada 500 kepada 2,000 sebulan, sehingga terpaksa bekerjasama dengan penternak lain kerana permintaan yang tinggi.

“Kerap kali kami melihat kisah kejayaan seperti ini,” katanya.

Hasnul berkata, domain “.my” lebih daripada sekadar laman web, malah ia mewakili identiti dan kredibiliti Malaysia yang kukuh, penting untuk menonjolkan kehadiran dalam talian secara profesional.

Justeru itu, untuk menggiatkan lagi pendaftaran domain .my, MYNIC aktif menganjurkan pertandingan dan kempen seperti ‘RevUp and Register’ Eid Adha pada Jun lalu, dengan pemenang menerima jongkong emas seberat lima gram.

“Menyertai kempen RevUp dan Register bukan sahaja menawarkan peluang untuk memenangi hadiah yang hebat tetapi juga meningkatkan keterlihatan dan kebolehpercayaan jenama anda dengan ketara dalam landskap digital.

“Mereka yang berminat masih boleh mendaftarkan nama domain .my mereka melalui 18 pendaftar yang mengambil bahagian. Siapa tahu, anda mungkin pemenang hadiah kami bernilai RM200,000,” kata Hasnul.

Sempena sambutan kemerdekaan Malaysia pada Ogos ini, MYNIC melancarkan satu lagi subkempen khas. Pendaftar nama domain “.my” dengan langganan satu hingga 10 tahun layak mendapat pelbagai ganjaran, termasuk hadiah utama Proton X50.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top