Di Kota Bandung Indonesia, tular seorang lelaki membunuh isterinya kerana dia telah mendengar khabar angin mengatakan isterinya curang.
Disebabkan rasa cemburu, dia nekad untuk membunuh isterinya dengan bantuan tiga orang rakannya, walaupun masih belum mendapat kepastian tentang khabar angin yang diterima.
Menerusi laporan Tribun Jabar, mangsa yang juga dikenali sebagai Irma Novitasari ini dilaporkan telah hilang selama lebih kurang 7 bulan.
Pada mulanya suami kepada Irma iaitu Asep Saipudin memberitahu pihak keluarga mangsa, bahawa Irma telah melarikan diri.
Keluarga mangsa yang pelik dengan perkara itu telah menjejaki keberadaan Irma selama berbulan-bulan.
Sehingga pihak keluarga mendapat berita pada 28 Julai, bahawa Irma telah meninggal dunia dan dikebumikan di kebun di belakang rumah suspek.

Ketua Balai Polis Bandung, Kisworo Wibowo berkata kini pihak polis telah menggali semula kubur Irma supaya mayatnya dapat dibedah siasat oleh pasukan perubatan.
Difahamkan, Asep telah membunuh isterinya pada Januari 2024 dengan cara mengelar leher mangsa, dibantu oleh rakannya.
Keempat-empat suspek telah didakwa mengikut Seksyen 340 dan Seksyen 170 KUHP (Kitab Undang-Undang Hukum Pidana) yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.





