TAIPEI: Berjuta-juta penduduk Taiwan diarahkan berlindung di dalam bangunan manakala kelajuan internet mudah alih diperlahankan selama 30 minit hari ini dalam simulasi serangan China terhadap pulau itu.
Latihan berkenaan merupakan sebahagian daripada latihan ketenteraan tahunan, Han Kuang, yang bertujuan mempersiapkan 23 juta penduduk Taiwan menghadapi kemungkinan pencerobohan China.
China mendakwa Taiwan sebahagian daripada wilayahnya dan mengancam menggunakan kekerasan untuk menguasai pulau itu.
Siren kecemasan dibunyikan di seluruh ibu negara, Taipei, pada pukul 2.30 petang waktu tempatan, menyebabkan orang ramai bergegas ke parkir bawah tanah, stesen kereta api bawah tanah, pusat beli-belah dan bangunan pejabat untuk berlindung.
Jalan raya yang biasanya sibuk bertukar sunyi apabila polis mengarahkan kenderaan berhenti di tepi jalan sebelum mengarahkan orang ramai ke tempat perlindungan.
Latihan tahun ini turut menyaksikan kelajuan internet mudah alih dikurangkan buat kali pertama, menyebabkan akses kepada panggilan video, penstriman langsung dan aplikasi penghantaran makanan terganggu buat sementara waktu.
Langkah itu mensimulasikan keadaan sekiranya serangan udara China menyasarkan infrastruktur komunikasi Taiwan.
Ben Lewis dari laman analisis PLATracker berkata sebelum latihan itu, simulasi berkenaan tidak mungkin menggambarkan keadaan internet terputus sepenuhnya, namun pendedahan kepada gangguan internet penting untuk memberi gambaran kepada orang ramai tentang situasi yang mungkin berlaku.
“Sama ada ia akan mencerminkan penutupan internet sepenuhnya, saya rasa tidak mungkin. Tetapi memberi peluang kepada orang ramai merasai bagaimana gangguan internet mungkin berlaku adalah penting,” katanya kepada AFP.
Beliau berkata, latihan itu juga penting bagi menguji daya tahan sistem komunikasi awam dan infrastruktur internet.
Latihan Han Kuang yang berlangsung selama 10 hari dan berakhir Jumaat itu menyaksikan tentera Taiwan mengadakan pelbagai simulasi pertempuran bagi membolehkan anggota tentera serta pasukan simpanan berlatih menghadapi serangan China.
Semalam, kapal pengawal pantai dan tentera laut Taiwan mengadakan latihan bersama untuk mengiringi sebuah kapal dalam simulasi sekatan oleh China di perairan timur pulau berkenaan.
Sementara itu, latihan di parkir bawah tanah sebuah hospital berhampiran Taipei pada Khamis mempamerkan operasi kemudahan perubatan ketika perang.

