“Saya hanyalah anak kampung yang membesar di FELDA” -Menteri Agama

“Saya hanyalah anak kampung yang membesar di FELDA” -Menteri Agama

Menteri Agama, Senator Dr Zulkifli Hassan berkongsi latar belakang dirinya selepas menerima banyak pertanyaan mengenai kehidupan dan pengalaman yang membentuk perjalanan kerjayanya sejak membentangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH)

Ramai yang nak tahu tentang latar belakang

Menurut beliau dalam perkongsian di media sosial, segala pencapaian yang diraih bermula daripada kehidupan sebagai anak kampung yang membesar di FELDA Sungai Behrang, Muallim, Perak sebelum meneruskan pengajian sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Ada ramai yang bertanya latar belakang saya? Memang saya tidak terkenal dan bukanlah siapa-siapa.
“Saya hanyalah anak kampung yang membesar di FELDA Sungai Behrang, Muallim, Perak, dibesarkan oleh ibu bapa yang menoreh getah serta mengajar anak-anak FELDA mengaji Al-Quran.
“Kejayaan saya adalah hasil sokongan keluarga, sahabat, dan guru-guru di SK Sungai Behrang, Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar, UIAM, serta Durham University, United Kingdom,” ujarnya.

Kongsi latar belakang pendidikan

Beliau turut menjelaskan bahawa latar belakang pendidikannya merangkumi bidang undang-undang, syariah dan kewangan Islam, termasuk memperoleh Ijazah Kedoktoran (Ph.D) dalam Kewangan Islam dari United Kingdom.

“Latar belakang pendidikan saya merangkumi Ijazah Pengajian Undang-Undang, Ijazah Pengajian Syariah, Sarjana (Master) dari UIAM, dan Ijazah Kedoktoran (Ph.D) dalam Kewangan Islam dari United Kingdom, selain lulus cemerlang dalam kursus profesional Kewangan Islam,” katanya.

“Saya hanyalah anak kampung yang membesar di FELDA” -Menteri Agama

Dalam perkongsian sama, Zulkifli menambah beliau mempunyai pengalaman kerjaya lebih 25 tahun dalam bidang Kewangan Islam, termasuk pernah berkhidmat sebagai peguam, penasihat undang-undang dan Penasihat Syariah.

Selain pengalaman profesional, beliau turut mempunyai pengalaman dalam bidang akademik sebagai pensyarah, profesor, dekan, timbalan rektor universiti serta profesor pelawat dan ahli lembaga penasihat universiti di luar negara.

Malah, beliau turut berkongsi pelbagai pengiktirafan yang pernah diterima termasuk Biasiswa Fulbright, Young Intellectual Exchange di Jepun serta anugerah dalam bidang Kewangan Islam.

Dalam bidang penulisan pula, Zulkifli memaklumkan beliau telah menghasilkan lebih 30 buku dan bab dalam buku selain ratusan artikel dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

“Pengalaman Profesional: Peguam, penasihat undang-undang, serta Penasihat Syariah bagi bank, takaful, koperasi, dan organisasi antarabangsa. Bertugas di Dubai International Financial Centre, UAE dan Fordham Law School, New York.”
“Penerbitan: Menulis lebih 30 buku dan bab dalam buku (Bahasa Melayu & Inggeris) serta ratusan artikel, termasuk memenangi Buku Terbaik MAPIM Peringkat Kebangsaan (Kategori Bahasa Inggeris).”

Beliau turut aktif dalam misi kemanusiaan dan aktiviti kemasyarakatan termasuk menyertai misi di Gaza, Syria, Turkiye, Indonesia serta kawasan yang dilanda bencana.

“Walaupun berpengalaman luas dalam pengauditan, perakaunan, dan penyata kewangan serta menerima sanad-sanad hadis daripada ulama muktabar, saya kekal merendah diri dan terus belajar.
“Terima kasih kepada semua guru yang mendidik saya. Hadza min fadhli Rabbi,”

Nama Dr Zulkifli menjadi perhatian terutama minggu ini susulan pembentangan RCI Tabung Haji yang berlangsung di Dewan Rakyat.

Walaupun beberapa kontroversi terjadi sewaktu hari pembentangan, namun ramai yang memuji penyampaian beliau terutama mereka yang menonton secara langsung sidang khas tersebut.

Sumber: Instagram drzulkiflihasan

Scroll to Top