Zii Jia sasar emas Los Angeles 2028

Zii Jia sasar emas Los Angeles 2028

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak mahu menoleh kebelakangan lagi apabila memasang impian mahu memburu pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pemain nombor tujuh dunia itu mengakui terkilan kerana tidak dapat menyumbang emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024, kali ini, tetapi menyifatkan pencapaian membawa pulang gangsa memberikan suntikan semangatnya untuk memenuhi impian emas di LA28.

“Bagi saya, kita sudah pun memiliki ramai pemenang pingat gangsa dan perak dalam Sukan Olimpik, cuma yang belum dapat adalah pingat emas. Mungkin orang lain tidak rasa apa-apa, tetapi ini (gangsa) adalah pembakar semangat untuk perjalanan saya.

“Sudah tentu saya akan kembali pada LA28 nanti dan terus berusaha untuk mencapai sasaran itu (emas) untuk diri sendiri serta Malaysia,” katanya.

Sebelum itu, bekas juara Seluruh England itu memastikan dia tidak lagi pulang dengan tangan kosong dalam penampilan keduanya di pentas Olimpik selepas Tokyo 2020 apabila memenangi gangsa apabila menewaskan pemain India, Lakshya Sen 13-21, 21-16, 21-11 pada aksi penentuan gangsa di Porte de La Chapelle Arena, malam kelmarin.

Zii Jia gagal melangkah ke pentas final selepas tewas di tangan juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn di separuh akhir.

Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil di final perseorangan lelaki Olimpik menerusi legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei ketika meraih perak pada edisi 2016 di Rio de Janeiro.

Selain itu, Zii Jia mendedahkan dia seolah-olah keliru dengan kemahuan diri sama ada mahu membawa pulang pingat gangsa atau tidak, sebaik sahaja tidak dapat melayakkan diri ke perlawanan akhir.

“Secara jujur, selepas aksi separuh akhir, saya tidak tahu nak pingat ini (gangsa) atau tidak kerana matlamat saya datang ke sini adalah emas. Selepas kalah perlawanan itu, rasa seperti ditampar Kunlavut dan rasa kosong.

“Pada perlawanan hari ini (kelmarin), memang rasa kosong dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Bagaimanapun, saya berjaya bangkit kerana fikir ia akan memberi impak cukup besar kepada saya jika kalah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top