am@hmetro.com.my
TIDAK dinafikan naskhah genre aksi antara diminati ramai sekali gus mudah mendapat tempat dikalangan penonton filem.
Perkara itu turut mendorong syarikat produksi Studio Screen untuk menerbitkan sebuah filem aksi berjudul Pungut.
Penerbitnya, Datuk Saifulhaq Anani berkata, ia adalah sebuah naskhah mengisahkan hakikat yang berlaku dalam masyarakat sekarang.
“Ia mencerminkan mengenai kuasa, kedudukan serta kepayahan masyarakat dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang terlalu sukar demi mencari sesuap nasi.
“Jadi, naratif ini diolah dengan situasi yang berlaku sekarang ini dengan dijadikan sebuah kisah memaparkan kehidupan pekerja mencari rezeki sebagai pemungut sampah,” katanya.
Saifulhaq berkata, filem itu diarahkan pengarah yang cukup terkenal dengan genre aksi seperti Geran dan Walid iaitu Areel Abu Bakar.
Katanya, pemilihan Areel selaku pengarah dibuat selepas pihaknya melihat dua filem arahannya sebelum ini yang memang dekat dengan konsep cerita yang ingin disampaikan.
“Filem Pungut menampilkan kelainan tersendiri kerana ia bukan sekadar filem aksi semata-mata, malah, akan membuka mata penonton untuk menilai sendiri konsep naratif dalam filem ini.
“Pungut memberikan kesedaran bahawa di sebalik pembangunan yang semakin pesat, masih ada segelintir golongan yang mencari rezeki dalam longgokan sampah,” katanya.
Selaku pengarah, Areel pula berkata, judul Pungut dipilih kerana naskhah filem itu sendiri berkisar mengenai sekumpulan pekerja di pusat pelupusan sampah.
“Sebenarnya, saya memang suka menghasilkan filem yang menjurus kepada kisah realiti yang sangat dekat dengan masyarakat seperti dua filem sebelum ini.
“Kali ini, saya angkat kisah kehidupan pekerja pemungut sampah yang berdepan dengan pelbagai dugaan dalam pekerjaan mereka serta diperkuatkan lagi dengan babak-babak aksi pergaduhan,” katanya.
Berkongsi penggambaran pula, kata Areel, ia dilakukan di tempat pelupusan sampah yang sebenar dan pastinya mengundang risiko dengan persekitaran yang tidak sihat.
“Itu antara cabaran utama, namun, semuanya berjalan lancar. Apapun, yang lebih penting saya ingin penonton melihat sendiri kehidupan pekerja pemungut sampah ini mencari rezeki demi untuk meneruskan kehidupan.
“Mungkin ada segelintir yang memandang jijik pekerjaan sebegitu, namun cuba bayangkan pula jika tiada orang yang sanggup melakukan kerja-kerja sedemikian,” katanya.
Menurut Areel lagi, dia sangat bersyukur kerana mendapat barisan pelakon yang mantap dan tidak mengeluh apabila berlakon di tempat pelupusan sampah sebenar.
“Semua pelakon juga teruja dengan konsep yang diketengahkan serta memberi komitmen sepenuhnya.
“Saya berharap agar penonton dapat menonton filem Pungut dengan minda yang terbuka nanti.
“Kepada mereka yang meminati filem aksi, Pungut adalah sebuah filem yang sangat sesuai untuk ditonton kerana ia memberikan kelainan tersendiri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




