SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) menutup kempen Liga Super musim ini dengan mengutip mata tiga penuh.
Dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi, NSFC menumpaskan Kelantan The Real Warriors (TRW) dengan keputusan 2-1.
Pasukan tuan rumah memperolehi gol seawal minit ke-8 melalui tandukan Ahmad Khuzaimi Piee hasil sepakan sudut.
Kemudiannya, kelemahan barisan pertahanan Kelantan TRW terus dihukum menerusi sentuhan penyerang import NSFC, Mio Tsuneyasu pada minit ke-11.
Dia yang tidak dikawal mengambil peluang yang terhidang untuk menewaskan Mohammad Fikri Che Soh di gawang Kelantan TRW.
Ketinggalan dua gol tidak mematahkan semangat pelawat dan hasilnya mereka merapatkan jurang hasil gol penyerang, Muhammad Asraf Alifuddin Yasin pada minit ke-27.
Pasukan tuan rumah berpeluang menambah bilangan gol apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-39.
Bagaimanapun, tendangan penyerang, Joseph Esso berjaya ditepis Mohammad Fikri.
Separuh masa kedua menyaksikan asakan bertubi-tubi NSFC ke kubu Kelantan TRW namun ketangkasan Mohammad Fikri menafikan gol untuk tuan rumah sekali gus keputusan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan.
Tamat musim Liga Super buat kedua-dua pasukan, NSFC ditangga ketujuh dengan 29 mata manakala Kelatan TRW memperoleh 15 mata ditangga ke-12.-UTUSAN.




